POLITIK

PRK AYER KUNING: CALON BN OPTIMIS RAIH SOKONGAN PENGUNDI KAWASAN KELABU, HITAM

23/04/2025 10:52 AM

TAPAH, 23 April (Bernama) -- Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning Dr Mohamad Yusri Bakir optimis mampu mendapatkan sokongan pengundi atas pagar dan yang menyokong parti lawan sebelum ini.

Bekas guru itu berkata beliau memberikan penerangan jelas kepada kelompok berkenaan mengenai pembangunan dan hala tuju kawasan DUN tersebut, menerusi pendekatan bersemuka sepanjang kempen yang berbaki dua hari lagi.

“Ada yang kata, kali ini boleh bagi (undi). Mereka pilih calon BN sebab apa yang penting bagi mereka adalah pembangunan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Mengulas mengenai sentimen kaum dan agama yang dimainkan ketika kempen PRK itu, lulusan Ijazah Doktor Falsafah (Pendidikan Islam) itu berkata beliau lebih selesa menggunakan pendekatan mesra rakyat, berbanding memainkan isu yang boleh menjejaskan keharmonian kaum.

PRK DUN Ayer Kuning yang diadakan susulan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin, akibat serangan jantung pada 22 Feb lepas, menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohamad Yusri, calon Perikatan Nasional (PN) Abd Muhaimin Malek dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) Bawani KS.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada Sabtu ini, manakala pengundian awal berlangsung semalam.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan