Oleh Muhammad Saufee Rosman dan Ahmad Idzwan Arzmi
KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia dan China tahun lepas, bahasa Melayu semakin diiktiraf sebagai aset diplomatik yang penting dalam memperkukuh hubungan dua hala terutama melalui pertukaran antara rakyat, kerjasama ekonomi dan penglibatan serantau.
Sejak menjalinkan hubungan diplomatik pada 1974, kedua-dua negara telah membentuk hubungan yang kukuh dalam pelbagai sektor termasuk perdagangan, kebudayaan dan pendidikan.
Antara inisiatif dilaksanakan ialah penubuhan Kursi Pengajian Melayu di Beijing Foreign Studies University (BFSU) pada 2007 yang kemudiannya dinamakan semula sebagai Kursi Pengajian Melayu Sultan Ibrahim pada 2024.
Berdasarkan minat terhadap pertukaran bahasa dan budaya yang semakin meningkat, usaha mempromosikan pemahaman bersama melalui elemen-elemen ini dianggap sebagai medium penting yang mempunyai keupayaan mempengaruhi dan menarik kerjasama berpanjangan.
Penasihat Utama di Pusat Penyelidikan Pasifik Malaysia Dr Oh Ei Sun berkata inisiatif ini juga selaras dengan objektif utama Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) khususnya tiang penghubungan antara rakyat, di samping pembangunan infrastruktur dan pemudah cara pelaburan.
“Bahasa adalah teras kepada budaya, oleh itu, pertukaran seperti ini akan memperkukuh hubungan tersebut. Usaha ini boleh membantu mewujudkan asas yang lebih praktikal dan berkesan untuk kerjasama berterusan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Ditanya sama ada usaha Malaysia untuk mempromosikan bahasa Melayu di China dilihat sebagai strategi kuasa lembut (soft power), beliau berpendapat bahawa usaha tersebut sekurang-kurangnya dapat melahirkan lebih ramai penutur bahasa Melayu di China, sekali gus memudahkan penglibatan dua hala pada masa hadapan dalam bidang ekonomi, komunikasi dan pelancongan.
Sebelum ini, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menekankan kepentingan memperkukuh hubungan pendidikan dan kebudayaan antara Malaysia dan China termasuk peningkatan pertukaran pelajar serta rancangan menghantar lebih ramai pelajar Malaysia melanjutkan pelajaran di negara Tembok Besar itu.
Baginda turut menzahirkan sokongan terhadap usaha mempromosikan Kursi Pengajian Melayu Sultan Ibrahim di BFSU serta menekankan bahawa bahasa memainkan peranan penting dalam memperkukuh hubungan dua hala serta memupuk pemahaman bersama yang lebih mendalam.
Bagi memastikan kejayaan inisiatif berkenaan, Oh berkata adalah penting untuk melaksanakan kursus bahasa yang komprehensif, program penghayatan secara menyeluruh serta peluang latihan industri bagi memastikan impak berkesan dan berpanjangan.
“Pembelajaran bahasa seperti ini bukanlah sesuatu yang baharu. China menyambut baik usaha-usaha daripada Malaysia kerana ia bertujuan melahirkan lebih ramai penutur bahasa Asia Tenggara dalam kalangan rakyat China,” katanya.
Berkongsi pandangan sama, Penyelaras Program Linguistik Melayu Universiti Malaya (UM) Prof Madya Dr Salinah Ja’afar berkata peningkatan pelaburan China di Asia Tenggara telah menyumbang kepada permintaan terhadap profesional yang fasih berbahasa Melayu.
“Malah, dasar pendidikan di China menggalakkan penguasaan pelbagai bahasa asing termasuk bahasa-bahasa ASEAN, sejajar dengan inisiatif seperti Laluan Sutera Maritim Abad ke-21 (merujuk kepada BRI yang diperkenalkan Presiden Xi Jinping pada 2013),” katanya.
Beliau berkata perkembangan ini turut mempengaruhi sektor pendidikan, dengan semakin banyak institusi di China mula menawarkan program berkaitan dengan Malaysia, sekali gus meningkatkan minat pelajar dari kedua-dua negara untuk terlibat dalam pertukaran akademik.
“Peningkatan penghargaan terhadap budaya Melayu di China seperti minat terhadap muzik, filem dan sastera telah merangsang pertambahan bilangan pelajar dalam kursus dan program bahasa Melayu sekali gus membantu memperluas hubungan dua hala.
“Pengajaran bahasa Melayu di China bukan lagi fenomena terhad kepada tempatan tetapi mencerminkan pengiktirafan global terhadap kepelbagaian bahasa dan budaya serantau,” katanya sambil menekankan kepentingan untuk menonjolkan potensi bahasa Melayu semasa Sidang Kemuncak ASEAN yang dipengerusikan Malaysia tahun ini.
Perspektif media pula, seorang wartawan dari China Media Group (CMG) Ahmad Fawzan Azmie Abdul Halil berkata permintaan terhadap kandungan bahasa Melayu wujud di China terutamanya dalam kalangan pelajar dan individu yang pernah tinggal di Malaysia.
Oleh itu, bagi memperkukuh pertukaran bahasa dan budaya antara Malaysia dan China melalui platform media, beliau berkata penghasilan bersama dan program pertukaran wartawan merupakan strategi berimpak tinggi untuk mempertingkatkan pemahaman antara budaya serta membina kepercayaan jangka panjang antara kedua-dua negara.
“Saya percaya masa depan pertukaran bahasa dan budaya antara Malaysia dan China melalui saluran media sangat cerah, terutamanya dengan sokongan melalui dasar terbuka, kerjasama lebih erat dan inisiatif-inisiatif lain. Malah pertukaran tenaga kerja di pelbagai sektor membolehkan penggiat industri lebih memahami antara satu sama lain khususnya dengan membentuk perspektif positif antara kedua-dua negara,” katanya.
-- BERNAMA