EKONOMI

IMF SEMAK UNJURAN KDNK MALAYSIA KEPADA 4.1 PERATUS BAGI 2025

23/04/2025 01:45 PM

KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) telah menurunkan unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebenar Malaysia bagi 2025 kepada 4.1 peratus daripada 4.7 peratus sebelumnya, mencerminkan semakan penurunan yang lebih meluas di seluruh rantau ini. 

Dalam Tinjauan Ekonomi Dunia pada April 2025 bertajuk "A Critical Juncture amid Policy Shifts", IMF turut mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 3.8 peratus pada 2026.

Selain itu, IMF menurunkan unjuran pertumbuhan global bagi 2025 kepada 2.8 peratus, turun 0.5 mata peratusan daripada anggaran Januari.

Dalam kalangan rakan dagangan serantau Malaysia, IMF menurunkan unjuran Indonesia bagi 2025 kepada 4.7 peratus daripada 5.1 peratus.

Filipina pula dijangka mencatatkan pertumbuhan 5.5 peratus, merosot daripada 6.1 peratus, manakala unjuran bagi Thailand disemak semula kepada 1.8 peratus daripada 2.9 peratus.

Menurut IMF, perubahan dasar utama sedang membentuk semula landskap perdagangan global dan mencetuskan semula ketidaktentuan, sekali lagi menguji daya tahan ekonomi global.

“Sejak Februari, Amerika Syarikat telah mengumumkan pelbagai gelombang tarif terhadap rakan dagangan dan ada antaranya menimbulkan tindak balas.

“Pada awalnya, pasaran melihat kebanyakan pengumuman itu dengan tenang, sehinggalah Amerika Syarikat melaksanakan tarif secara menyeluruh pada 2 April, yang mencetuskan kejatuhan bersejarah dalam indeks ekuiti utama dan lonjakan dalam hasil bon, diikuti dengan pemulihan berperingkat selepas berhenti sebentar dan pengurangan tambahan pada dan selepas 9 April,” katanya.

IMF turut mengulangi bahawa ekonomi dunia kini berada di persimpangan kritikal, dengan munculnya tanda-tanda kestabilan pada sebahagian tahun 2024, selepas tempoh kejutan yang mencabar dan berpanjangan. 

“Inflasi, penurunan daripada paras tertinggi sejak beberapa dekad, disusuli oleh penurunan secara beransur-ansur walaupun tidak lancar ke arah sasaran bank pusat.

“Pasaran buruh juga kembali normal dengan kadar pengangguran dan kekosongan kerja kembali ke paras prapandemik,” katanya.

Mengenai produktiviti, IMF berkata percanggahan semakin meluas kerana aktiviti pembuatan terus beralih daripada ekonomi maju kepada pasaran yang sedang pesat membangun. 

Pengeluaran perindustrian mengalami kemerosotan di semua negara ketika permulaan pandemik. Bagaimanapun, proses pemulihan berbeza mengikut negara.

“Pengeluaran melonjak di China dan turut berkembang dalam ekonomi Kesatuan Eropah yang lebih kecil dan ASEAN-5 (Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura dan Thailand), manakala pergelutan untuk kembali ke tahap prapandemik berlaku di Jepun dan negara Kesatuan Eropah yang lebih besar,” katanya.

Sementara itu, IMF berkata pengeluaran perindustrian di Amerika Syarikat telah pulih dengan lebih kukuh berbanding ekonomi maju lain.

Mengenai komoditi, IMF mengunjurkan harga bahan api menyusut sebanyak 7.9 peratus pada 2025, diikuti dengan penurunan harga minyak sebanyak 15.5 peratus dan 15.8 peratus dalam harga arang batu.

Penurunan ini dijangka sebahagiannya diimbangi dengan kenaikan harga gas asli sebanyak 22.8 peratus didorong oleh cuaca yang lebih sejuk berbanding jangkaan dan pemberhentian bekalan gas dari Rusia ke Eropah menerusi Ukraine sejak Januari.

 Dalam pada itu, harga komoditi bukan bahan api dijangka meningkat sebanyak 4.4 peratus pada 2025.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan