KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) komited untuk mencari penyelesaian terbaik dalam isu tarif balas demi kepentingan bersama, kata Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Beliau yang kini berada di Washington, Amerika Syarikat (AS) untuk lawatan selama dua hari berkata sebelum bertemu pegawai kanan kerajaan AS, perbincangan diadakan dengan pasukan MITI di sini.
“Sebelum bertemu pegawai kanan kerajaan AS, saya adakan perbincangan dengan pasukan MITI di sini. Kita teliti strategi dan usaha terkini untuk mengukuhkan hubungan perdagangan Malaysia-AS.
“Kita komited untuk mencari penyelesaian terbaik demi kepentingan bersama,” katanya menerusi hantaran di platform media sosial beliau hari ini.
Beliau dijadualkan bertemu Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) Jamieson Greer dan pegawai lain yang berkaitan di Washington pada 24 April.
Delegasi Malaysia juga akan mengambil peluang untuk bertemu beberapa dewan perniagaan, syarikat dan kumpulan berkepentingan bagi menerangkan pendirian dan situasi negara serta maklum balas yang diterima daripada Kabinet, kata Tengku Zafrul dalam taklimat media baru-baru ini.
“Kami perlu ke sana untuk menjelaskan bagaimana Malaysia, sebuah negara neutral memainkan peranan penting dalam sektor semikonduktor serta elektrik dan elektronik. Matlamat kami untuk menunjukkan bahawa Malaysia boleh menyokong industri di AS berbanding memberi ancaman kepada mereka,” kata beliau.
Beliau akan diiringi Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan) MITI Mastura Ahmad Mustafa serta pegawai lain dari kementerian.
Wakil MITI di Kedutaan Malaysia di Washington akan menyertai delegasi itu.
Walaupun lawatan ini untuk Malaysia, Tengku Zafrul akan mengambil peluang untuk menyatakan pendirian ASEAN mengenai isu tarif tersebut terutamanya hasil daripada mesyuarat khas Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN, katanya pada sidang itu baru-baru ini.
Negara anggota Indo-China ASEAN merupakan yang paling teruk terkesan ekoran tarif ini, dengan Kemboja menghadapi gabungan tarif asas dan tarif balas sebanyak 49 peratus, diikuti Laos (48 peratus), Vietnam (46 peratus) dan Myanmar (44 peratus).
Thailand dikenakan tarif 36 peratus, Indonesia 32 peratus, Brunei dan Malaysia, masing-masing 24 peratus, Filipina 17 peratus manakala Singapura dengan tarif asas 10 peratus.
Tarif balas tersebut kini dalam tempoh penangguhan selama 90 hari, kecuali bagi China.
Dalam satu hantaran lain bertajuk: “Mencari jalan penyelesaian perdagangan yang adil dan saksama”, Tengku Zafrul berkata beliau juga telah mengadakan sesi perbincangan yang produktif di Washington bersama pegawai kanan APEC AS Duta Matt Murray.
“Malaysia hadir sebagai rakan yang membina, bukan sahaja dalam konteks dua hala tetapi juga sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dan ahli APEC yang komited.
“Kami menghargai keterbukaan AS untuk mendengar dan bersedia untuk meneruskan perbincangan secara berstruktur demi manfaat bersama,” katanya.
Malaysia merupakan antara 21 ekonomi anggota dalam Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).
-- BERNAMA