SEPANG, 23 April (Bernama) -- Minat membaca dan pengukuhan sahsiah pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Laut, terus diperkasa menerusi pelaksanaan Program Santuni MADANI Satu Pemimpin, Satu Kampung anjuran Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di sekolah berkenaan di sini hari ini.
Program sempena Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia itu dimulakan dengan acara ‘Jom Baca Bersama 10 Minit’, diikuti pelaksanaan Bengkel Biblioterapi Siri 1 dan Sesi Bimbingan AKRAB Bernama, selaras dengan pendekatan holistik untuk membina budaya membaca, keyakinan diri serta kesejahteraan mental dalam kalangan pelajar.
Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Bernama Nasriah Darus dalam ucapan perasmian program itu berkata program tersebut adalah sebahagian daripada usaha menyeluruh melalui inisiatif Santuni MADANI, untuk meningkatkan potensi komuniti luar bandar melalui pendidikan dan libat urus berterusan.
“Membaca bukan sahaja menambah ilmu pengetahuan, malah mampu merangsang imaginasi, mengurangkan stres dan memperkukuh kemahiran komunikasi. Lebih menarik, ia boleh dilakukan di mana-mana dan pada bila-bila masa,” katanya.
Sebanyak 100 buku turut disumbangkan kepada Pusat Sumber SK Batu Laut menerusi Kempen 3B – Baca Bersama Bernama, sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) Bernama.
Sejak Kempen 3B dilancarkan pada 2016, lebih 4,730 buku telah diagihkan kepada komuniti sasaran termasuk pelajar, asnaf dan masyarakat orang asli.
Sementara itu siri pertama Bengkel Biblioterapi yang bermula hari ini akan diteruskan dalam lima siri, dengan objektif menerapkan kaedah penyembuhan melalui pembacaan untuk membina keyakinan diri dan menambah daya fokus pelajar.
Dalam masa sama Sesi Bimbingan Bersama AKRAB turut dijalankan dengan pelbagai aktiviti seperti pameran psikologi, ujian kendiri melalui pendekatan interaktif, dikendalikan oleh pasukan AKRAB Bernama yang ditauliahkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Program itu turut mendapat kerjasama strategik Mydin Mohamed Holdings Berhad (MYDIN) yang menyumbang kit penjagaan gigi kepada semua pelajar sebagai sebahagian daripada kempen kesedaran kesihatan oral dalam kalangan generasi muda.
Turut hadir Guru Besar SK Batu Laut Fadhlah Afif Talib, Ketua Kampung Batu Laut Subandi Sangadi dan Ketua Khidmat Pengurusan dan Kewangan Bernama merangkap Timbalan Ketua Program 2 Santuni MADANI Satu Pemimpin Satu Kampung Sharifah Zaini Syed Zain.
Acara Jom Baca Bersama 10 Minit dianjurkan pada 23 April setiap tahun bersempena sambutan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia anjuran Pertubuhan Pelajaran, Saintifik, dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Pelaksanaan Program Santuni MADANI di Batu Laut sebelum ini turut merangkumi Bengkel Canva, Taklimat Ancaman Siber serta Program CSR Ramadan dan dibuat secara berfasa dan menyeluruh bagi memaksimumkan impak jangka panjang program itu.
Program berkenaan akan diteruskan hingga Oktober 2025, melibatkan penyertaan pelajar, guru dan komuniti setempat termasuk sekolah menengah dan pusat komuniti kampung, dengan laporan impak akan dibentangkan pada penghujung siri kelima.
-- BERNAMA