JENAYAH & MAHKAMAH

SPRM TAHAN REMAN PENGERUSI JPKK DISYAKI SALAH GUNA KUASA

23/04/2025 06:02 PM

KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan reman seorang pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di Sabak Bernam kerana disyaki menyalahgunakan kuasa.

Menurut sumber perintah reman selama empat hari bermula hari ini terhadap suspek wanita berusia lingkungan 40-an itu dikeluarkan Majistret Noora Nisa Ngadirin selepas membenarkan permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini. 

Wanita itu dipercayai membuat pindahan wang peruntukan daripada akaun jawatankuasa berkenaan ke akaun peribadi miliknya tanpa kebenaran mana-mana pihak. 

Menurut sumber terdapat pengerusi-pengerusi JPKK di daerah berkenaan yang menyalahgunakan kuasa dengan membuat pindahan wang daripada akaun JPKK ke akaun persendirian bagi kegunaan peribadi tanpa kebenaran ahli JPKK.

“Mereka turut dipercayai membuat pembelian aset tanpa kebenaran mana-mana pihak selain tidak mengemukakan bukti-bukti pembayaran perbelanjaan kepada ahli mesyuarat JPKK.

“Susulan maklumat ini, SPRM menahan seorang wanita kira-kira 3.30 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor,” menurut sumber itu kepada Bernama.

Pengarah SPRM Selangor Hairuzam Mohmad Amin@Hamim ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

-- BERNAMA


 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan