AM

SIDANG KHAS DEWAN RAKYAT PLATFORM SUARAKAN PANDANGAN MENGENAI ISU TARIF AS - FAHMI

23/04/2025 06:42 PM

PUTRAJAYA, 23 April (Bernama) -- Sidang khas Dewan Rakyat pada 5 Mei ini menjadi platform kerajaan dan pembangkang menyampaikan pandangan mengenai isu tarif timbal balas Amerika Syarikat (AS) yang dikenakan ke atas Malaysia.

Jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Fahmi Fadzil yang juga Menteri Komunikasi berkata sidang akan dimulakan dengan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 11 pagi diikuti sesi perbahasan.

“Sesi perbahasan akan menyaksikan kedua-dua pihak penyokong kerajaan ataupun pihak pembangkang menyampaikan pandangan-pandangan mereka (berhubung isu tarif timbal balas).

“(Ia kemudiannya) digulung oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Kementerian Kewangan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini. 

Fahmi berkata Ahli Parlimen akan menerima pemakluman mengenai sidang khas itu hari ini.

Semalam, Anwar mengesahkan sidang khas Dewan Rakyat akan diadakan pada 5 Mei ini bagi membincangkan isu tarif timbal balas AS yang dikenakan ke atas Malaysia.

Mengenai lawatan Tengku Zafrul ke Washington bagi membincangkan isu tarif balas, Fahmi berkata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu akan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawat dari AS untuk memulakan siri perbincangan mengenai tarif tersebut.

“Kita tidak boleh menjangkakan apa yang akan diumumkan. Kita perlu tunggu sehingga mereka pulang dan melaporkan kepada Jemaah Menteri,” katanya.

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada 3 April lepas mengumumkan negaranya akan memperkenalkan tarif asas sebanyak 10 peratus kepada semua negara dan duti yang lebih tinggi melibatkan beberapa negara termasuk Malaysia sebanyak 24 peratus.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan