PETALING JAYA, 23 April (Bernama) -- Hebahan dan promosi oleh kedua-dua pihak finalis Piala Malaysia 2024/2025, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Sri Pahang FC membantu meningkatkan penjualan tiket aksi berprestij itu, hingga 60 peratus.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Mohd Shazli Shaik Mohd berkata selain itu, inisiatif baharu dengan memperkenalkan cabutan bertuah diharap dapat merancakkan lagi penjualan tiket bagi perlawanan akhir yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.
“Penjualan tiket final Piala Malaysia menunjukkan perkembangan positif daripada pasukan JDT dan Sri Pahang FC, tambahan pula menerusi inisiatif terbaharu MFL yang memperkenalkan cabutan bertuah dengan pelbagai hadiah menarik.
“Kami menyeru kepada semua penyokong JDT dan Sri Pahang FC untuk mendapatkan tiket yang masih dijual hingga hari perlawanan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Hari Raya MFL-Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)-Liga Bolasepak Amatur (AFL) di Wisma FAM di sini hari ini.
Beliau berkata antara hadiah lumayan ditawarkan bagi pembelian secara dalam talian ialah motosikal dan skuter elektrik, selain telefon dan jam pintar serta kamera 360 Insta.
MFL menyasarkan penjualan tiket sekurang-kurangnya 80 peratus bagi aksi kemuncak piala berprestij itu.
-- BERNAMA