EKONOMI

AEC 2026-2030 PAPAR PERINCIAN PELAN STRATEGIK KUKUHKAN INTEGRASI EKONOMI SERANTAU

24/04/2025 12:10 AM

GEORGE TOWN, 23 April (Bernama) -- Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) 2026-2030 yang bakal dilancarkan bersama dengan Wawasan Komuniti ASEAN 2045 pada Mei depan bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, akan memaparkan pelan strategik terperinci bagi memperkukuh integrasi ekonomi serantau.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Datuk Hairil Yahri Yaacob berkata inisiatif itu dirangka bagi menangani cabaran baharu selain meletakkan ASEAN sebagai hab ekonomi global yang dinamik.

“Penjajaran semula ASEAN ini adalah tepat pada masanya berikutan landskap global semasa yang berkembang dengan pesat.

“Saya percaya adalah penting untuk kita mengambil maklum kesan ketegangan geopolitik, perpecahan ekonomi, gangguan berkaitan iklim dan pecutan pendigitalan dalam usaha melakar hala tuju masa depan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam bagi Mesyuarat Pegawai Kanan Ekonomi ASEAN Kedua (SEOM 2/56) dan Mesyuarat Berkaitan di sini, malam ini.

Hairil Yahri juga menyifatkan Malaysia juga berada pada kedudukan tepat sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini bagi memuktamadkan serta melancarkan Wawasan Komuniti ASEAN 2045 atau ACV 2045.

Menurutnya ACV 4045 merupakan pelan hala tuju berwawasan yang menyediakan peluang bernilai untuk ASEAN dalam mentakrifkan semula trajektori pertumbuhannya sebagai tindak balas terhadap cabaran global. 

Seiring peranan sebagai kementerian utama bagi inisiatif Malaysia di bawah tonggak AEC, MITI menganjurkan SEOM 2/56 untuk Mesyuarat Menteri-menteri Ekonomi ASEAN dan Mesyuarat Berkaitan ke-56 pada 21-22 April, 2025 di Pulau Pinang.

Mesyuarat itu dihadiri oleh barisan pemimpin SEOM daripada Rakan Dialog ASEAN, termasuk Amerika Syarikat, China, Korea Selatan, Jepun dan Kesatuan Eropah (EU).

Dalam kenyataannya, MITI berkata objektif utama SEOM 2/56 adalah untuk meneliti dan membincangkan tindakan susulan penglibatan terdahulu, termasuk perbincangan utama Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-31 pada 28 Feb, 2025, Mesyuarat Khas AEM pada 10 April, 2025 serta mesyuarat SEOM yang terdahulu. 

Perbincangan mesyuarat itu menumpukan persiapan bagi acara serantau akan datang, terutama Mesyuarat Majlis Penyelarasan Ekonomi ASEAN (AECC) dan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang dijadualkan pada Mei 2025.

“Dari segi libat urus dengan Rakan Dialog ASEAN, mesyuarat itu bertumpu kepada perbincangan kemajuan dan menangani isu-isu utama berkaitan pelaksanaan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) sedia ada. 

“Ini ditambah pula dengan status Pelan Kerja dengan Rakan Dialog serta inisiatif kerjasama ekonomi berterusan dan terancang yang dikaji semula secara menyeluruh," katanya.

Malaysia secara rasmi mengambil alih peranan sebagai Pengerusi ASEAN pada 1 Jan, 2025 dengan tema "Keterangkuman dan Kemampanan” yang mencerminkan aspirasi negara membina ASEAN yang bersatu serta makmur.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan