CYBERJAYA, 24 April (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah merakam percakapan seorang individu yang memuat naik komen bersifat jelik melampau yang menghina Nabi Muhammad SAW dan agama Islam di laman aplikasi Facebook yang dipercayai milik lelaki itu.
MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan rakaman percakapan lelaki berumur 63 tahun itu dijalankan dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri, Johor pada 20 April lepas.
MCMC berkata telefon bimbit berserta kad sim yang digunakan oleh lelaki itu untuk memuat naik komen telah disita bagi tujuan analisis forensik.
Kes disiasat di bawah seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang jika sabit kesalahan, individu berkenaan boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.
MCMC berkata dalam masa terdekat kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya di Jabatan Peguam Negara dan akan diberikan taklimat, bagi mendapatkan keputusan.
"MCMC tidak akan berkompromi dan bertolak-ansur dengan mana-mana pihak yang menyalahgunakan platform media sosial khususnya menyentuh isu 3R (agama, kaum, dan institusi diraja) yang berpotensi mengakibatkan ketegangan antara agama an mengganggu keharmonian masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
"Orang ramai turut diingatkan untuk menggunakan media sosial secara beretika dan bertanggungjawab," menurut kenyataan.
-- BERNAMA