AM

UKM INSTITUSI PERTAMA BERJAYA LAKSANA RAWATAN SEL STEM OSTEOARTRITIS LUTUT

24/04/2025 12:04 PM

KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mencipta sejarah apabila menjadi institusi pertama di negara ini yang berjaya menjalankan ujian klinikal rawatan sel stem bagi pesakit osteoartritis lutut sekali gus membuka lembaran baharu dalam bidang perubatan regeneratif.

Ketua Pegawai Eksekutif KL Orthosports Sdn Bhd (KL Orthosports) Prof Madya Datuk Dr Badrul Akmal Hisham berkata kajian rawatan itu yang menggunakan kaedah Mesenchymal Stem Cells daripada tali pusat (umbilical cord) bermula sejak 2016, melibatkan enam pesakit terbukti apabila kesemua mereka pulih dan kembali menjalani kehidupan seperti biasa. 

“Alhamdulillah, sejak 2016 hingga hari ini, saya dapat melihat perkembangan positif dan saya yakin rawatan ini boleh diketengahkan secara rasmi agar dapat memberi manfaat kepada masyarakat dan pesakit.

“Sebagai universiti kebangsaan, kita satu-satunya institusi yang memiliki ujian klinikal terbukti dan diluluskan bagi rawatan sel stem serta kami komited memperjuangkan usaha ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas majlis pertukaran dokumen perjanjian antara KL Orthosport Sdn Bhd dengan Celler Therapeutics Sdn Bhd, dan pelancaran Malaysian Stem Cell Awareness Network di sini hari ini.

Turut hadir Dekan Fakulti Perubatan UKM Prof Dr Marina Mat Baki, Pengarah Celler Therapeutics Sdn Bhd Sasha Omar Firdaus Aamir Nordin dan bekas pesakit osteoartritis lutut yang menerima rawatan sel stem Khairul Ikram Kamarul Bahrin serta Mohammad Faizul Abdul Gaffar.

KL Orthosports merupakan syarikat pemula UKM yang memperoleh hak pelesenan inovasi milik UKM, membolehkan ia dikomersial dan dimanfaatkan secara meluas manakala Celler Therapeutics Sdn Bhd ialah syarikat biofarmaseutikal yang mempunyai kepakaran dalam penghasilan sel stem dan terapi.

Mengulas lanjut, Dr Badrul Akmal berkata prosedur itu bermula dengan pemeriksaan doktor serta ujian X-ray dan imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) sebelum perancangan rawatan dilakukan, termasuk penyediaan sel stem di makmal yang diakui.

"Selepas pembedahan dijalankan untuk merawat pesakit, lazimnya suntikan sel stem akan diberikan ke dalam lutut selepas dua minggu dan tempoh pemulihan bergantung pada tahap kecederaan pesakit,” katanya.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah mengenal pasti inisiatif dilaksanakan itu untuk diperluas dan dipertingkatkan melalui geran disediakan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

“Insya-Allah, lapan universiti awam termasuk universiti perubatan dan Konsortium Hospital Universiti Awam Malaysia (KHUAM) akan bergabung untuk menjalankan percubaan pelbagai pusat dan kita akan fokus kepada lebih kurang 500 pesakit.

“Dari situ kita akan lihat hasilnya, sekiranya membuahkan hasil positif, kemungkinan dalam masa dua atau tiga tahun universiti-universiti ini atau KHUAM akan menjadi tempat untuk pesakit mendapatkan rawatan sel stem,” katanya.

Sementara itu, Sasha Omar berkata kerjasama ini penting bagi pembangunan ubat dalam sektor farmaseutikal dan biofarmaseutikal kerana ia membantu menterjemah penyelidikan saintifik ke dalam aplikasi kinikal yang praktikal.

Beliau turut merujuk kajian terkini yang dilakukan di rantau ini – Asia-Pacific Osteoarthritis Registry – mendapati 70 peratus pesakit yang dirawat untuk osteoartritis tidak berpuas hati dengan rawatan konvensional seperti ubat penahan sakit, steroid, pembedahan dan fisioterapi.

Beliau berkata tiada rawatan konvensional yang menjadikan pesakit bertambah baik, ia hanya membantu meringankan gejala.

"Hal ini yang mendorong kami. Kami di sini hari ini dengan misi untuk mewujudkan rawatan yang lebih baik dan berkekalan melalui perubatan regeneratif, menawarkan penyelesaian jangka panjang yang membantu tubuh pesakit membaiki rawan yang rosak pada sendi mereka," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan