SINGAPURA, 24 April (Bernama) -- Inflasi keseluruhan Malaysia dijangka pulih pada tempoh separuh kedua 2025 selepas mencatatkan angka terendah dalam tempoh melebihi empat tahun pada Mac.
Moody’s Analytics berkata kategori pengangkutan dan perumahan serta utiliti, berisiko diasak tekanan inflasi dalam bulan-bulan mendatang apabila kerajaan melaksanakan penyasaran semula subsidi bahan api selain tarif elektrik dinaikkan.
“Keadaan cuaca di luar jangka juga menjadi antara risiko utama yang boleh memberi tekanana ke atas inflasi makanan,” katanya dalam laporan Taklimat Harian Asia Pasifik hari ini.
Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia menyederhana kepada 1.4 peratus tahun ke tahun pada Mac, lebih rendah daripada 1.5 peratus pada bulan sebelumnya dan di bawah paras unjuran firma itu yang meningkat pada 1.6 peratus.
Keadaan perlahan itu didorong terutamanya oleh pengurangan inflasi perumahan dan utiliti yang menyederhana bagi bulan ketiga berturut-turut susulan tekanan penurunan kos bekalan air dan perkhidmatan.
Inflasi pengangkutan yang juga kategori ketiga paling banyak wajaran dalam bakul IHP, juga kekal stabil walaupun purata harga diesel meningkat berbanding tahun sebelumnya.
Mengulas Singapura, Moody's Analytics mengunjurkan inflasi setahun penuh bagi 2025 berada pada 0.9 peratus.
Inflasi keseluruhan republik itu bagi Mac kekal stabil pada 0.9 peratus tahun ke tahun yang juga di bawah unjuran pada satu peratus.
Pada masa sama, inflasi teras turun bagi bulan keenam berturut-turut pada 0.5 peratus daripada 0.6 peratus dalam bulan sebelumnya -- paras terendah sejak Februari 2021.
Tekanan harga lebih perlahan dalam kategori utama seperti penginapan dan pengangkutan walaupun terdapat kenaikan kecil dalam harga makanan yang boleh mengekang penurunan inflasi menyeluruh.
Kejatuhan harga komoditi global, khususnya minyak mentah Brent, dijangka dapat memastikan kedua-dua inflasi menyeluruh dan teras kekal rendah sepanjang tempoh 2025.
"Minyak mentah Brent, terutamanya jatuh di bawah paras US$65 setong baru-baru ini. Kami menjangkakan harga kekal rendah berikutan permintaan global yang terus lemah serta keadaan bekalan yang lebih baik," katanya.
Moody’s Analytics berkata susulan inflasi teras yang berada dalam lingkungan sasaran Pihak Berkuasa Monetari Singapura pada dua peratus, bank pusat dijangka mengekalkan pelonggaran dasar monetarinya dalam mesyuarat pada Julai ini.
-- BERNAMA