KUALA LUMPUR, 24 April (Bernama) -- Gred Purata Kebangsaan (GPK) keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 merekodkan pencapaian terbaik sejak 2013 dengan 4.49 mata berbanding 4.60 mata pada 2023.
Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Azman Adnan sebanyak 14,179 calon daripada keseluruhan 402,918 calon yang menduduki SPM tahun lepas, memperoleh keputusan cemerlang (Gred A+, A dan A-) dalam semua mata pelajaran dan ia meningkat 0.6 peratus berbanding 2023.
Di PUTRAJAYA, Pengarah Jabatan Pendidikan Putrajaya Ezaiddin Hussain berkata pencapaian Gred Purata Negeri (GPN) adalah 3.44 mata berbanding 3.43 mata pada 2023, iaitu meningkat sebanyak 0.01 mata.
Beliau berkata sebanyak 2,023 calon atau 99.07 peratus daripada jumlah keseluruhan 2,042 calon layak mendapatkan sijil dengan 175 calon memperoleh keputusan cemerlang iaitu gred A+,A atau A- dalam semua pelajar manakala 12 calon tidak hadir.
Di TERENGGANU, Timbalan Pengarah Pendidikan (Sektor Pengurusan Sekolah) Jabatan Pendidikan negeri Rosli Chik berkata pencapaian GPN itu meningkat kepada 4.31 mata pada 2024 berbanding 4.41 pada tahun sebelumnya.
Beliau berkata sebanyak 532 calon atau 3.19 peratus daripada 18,783 calon memperoleh keputusan cemerlang dalam semua mata pelajaran dengan 11 calon berjaya mendapat gred A+ dalam semua subjek.
Di MELAKA, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata negeri itu mencapai GPN 4.43 mata, meningkat 0.16 mata berbanding 4.59 pada 2023.
Beliau berkata sebanyak 10,532 calon daripada 10,458 calon SPM 2024 Sekolah Kementerian Pendidikan di Melaka berjaya mendapat sijil, meningkat 0.61 peratus berbanding 95.53 peratus pada 2023 dengan 414 calon memproleh gred cemerlang iaitu A dalam semua mata pelajaran manakala 16 calon memperolehi gred cemerlang tertinggi (A+) bagi semua subjek yang diambil.
Di KEDAH, Pengarah Pendidikan negeri Ismail Othman berkata pencapaian GPN meningkat kepada 4.64 mata tahun lepas berbanding 4.77 pada tahun sebelumnya.
Beliau berkata sebanyak 663 calon atau 2.68 peratus daripada 28,933 calon yang menduduki SPM 2024 berjaya memperoleh gred semua A (A, A+ dan A-) dalam semua mata pelajaran diduduki, peningkatan sebanyak 95 calon atau 0.37 peratus.
Di PULAU PINANG, Pengarah Jabatan Pendidikan negeri Wan Sajiri Wan Hassan berkata pencapaian GPN negeri itu menunjukkan prestasi lebih baik, meningkat kepada 4.39 mata berbanding 4.49 pada tahun sebelumnya.
Beliau berkata daripada 17,417 calon yang menduduki SPM, sebanyak 819 atau 4.77 peratus memperoleh keputusan cemerlang (A+,A,A-) dalam semua mata pelajaran dengan 11 sekolah mencatat keputusan cemerlang termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jambul, SMK (P) St George, SMK Chung Ling, SMK Datuk Haji Ahmad Badawi, SMK Datuk Onn dan SMK Tun Hussien Onn.
Di SELANGOR, Pengarah Pendidikan negeri Dr Jafri Abu berkata keputusan GPN bagi 2024 adalah 4.59 mata, meningkat 0.08 mata daripada 4.67 pada tahun sebelumnya.
Beliau berkata daripada 73,799 calon, sebanyak 2,368 calon (3.65 peratus) memperoleh keputusan cemerlang dalam semua mata pelajaran berbanding 2,005 calon (3.15 peratus) pada 2023.
Di PAHANG, Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Pahang Ahmad Zamri Md Isa berkata sebanyak 595 calon daripada 16,942 calon memperoleh keputusan cemerlang dalam semua mata pelajaran berbanding 517 calon pada tahun sebelumnya.
Di JOHOR, Pengarah Pendidikan negeri Mohd Hanafi Samad berkata GPN negeri itu pada 2024 mencatatkan 4.36 mata, sekali gus mengatasi pencapaian GPK iaitu 4.49.
“Sebanyak 1,513 calon memperoleh keputusan cemerlang dengan gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran diduduki berbanding 1,247 calon pada tahun sebelumnya,” katanya sambil menambah empat calon berkeperluan pendidikan khas (CBPK) memperoleh 8A, 7A (empat) dan 6A (lapan).
Di PERLIS, Pengarah Pendidikan negeri Rose Aza Che Arifin berkata GPN negeri itu menunjukkan paras terbaik selepas mencatatkan 4.57 mata berbanding 4.74 pada 2023 dengan 89 calon SPM 2024 berjaya memperoleh gred cemerlang bagi semua mata pelajaran diduduki.
Di SABAH, Pengarah Jabatan Pendidikan negeri Datuk Raisin Saidin berkata nilai GPN meningkat 5.00 mata pada 2024 berbanding 5.09 mata pada 2023.
Beliau berkata sebanyak 905 calon tahun lepas tidak menghadiri peperiksaan itu berbanding 984 calon pada 2023 dan angka itu menunjukkan penurunan sebanyak 79 calon.
Di ibu negara, Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Megat Affandi Ismail berkata sebanyak 14,494 calon atau 92.82 peratus layak menerima sijil SPM tahun ini, meningkat berbanding 92.52 peratus tahun sebelumnya, sekali gus menjadi pencapaian terbaik sejak 2013.
Di SARAWAK, Pengarah Pendidikan Sarawak Omar Mahli berkata keputusan GPN negeri itu pada 2024 adalah 4.84, pencapaian lebih baik berbanding 4.92 mata pada tahun sebelumnya.
Beliau berkata sebanyak 81 calon memperoleh keputusan cemerlang (A+, A dan A-) dalam semua mata pelajaran diduduki manakala 30,341 calon layak menerima sijil SPM (lulus Bahasa Melayu dan Sejarah).
Di NEGERI SEMBILAN, Pengarah Pendidikan negeri Khalidah Omar berkata GPN negeri itu menunjukkan paras terbaik selepas mencatatkan GPN 4.18 pada 2024 berbanding 4.33 pada tahun sebelumnya, sekali gus mengatasi gred kebangsaan 4.49.
Sebanyak 804 daripada 14,712 calon SPM 2024 berjaya memperoleh gred cemerlang bagi semua mata pelajaran, katanya.
Di PERAK, Pengarah Pendidikan negeri Safuan Raba’ai berkata pencapaian GPN negeri itu menunjukkan prestasi lebih baik, meningkat kepada 4.63 berbanding 4.75 pada tahun sebelumnya dengan sebanyak 937 daripada 27,459 calon memperoleh keputusan cemerlang (A+, A dan A-) dalam semua mata pelajaran diduduki.
"Sembilan calon memperoleh A+ bagi semua mata pelajaran diduduki dan 25,774 calon layak menerima sijil SPM 2024 iaitu 93.86 peratus berbanding 25,227 calon pada 2023,” katanya.
Di KELANTAN, Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pengurusan dan Perancangan Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Pendidikan negeri Mat Lazim Mohammad berkata negeri itu mencatat keseluruhan GPN 4.62 bagi keputusan SPM 2024 berbanding 4.72 pada tahun sebelumnya.
Beliau berkata sebanyak 436 calon memperoleh keputusan cemerlang sekurang-kurangnya A- bagi semua mata pelajaran termasuk lapan calon daripada jumlah itu merekodkan keputusan semua A+.
-- BERNAMA