AM

AIMIMUQRI HARRAZ RAIH KEPUTUSAN CEMERLANG WALAUPUN DUDUKI SPM DI HOSPITAL

24/04/2025 04:43 PM

KOTA BHARU, 24 April (Bernama) -- Menjawab peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari hospital tidak mengganggu konsentrasi Aimimuqri Harraz Mohd Sufian untuk meraih keputusan cemerlang pada peperiksaan itu.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Ahmad Maher di sini, yang memperoleh keputusan 4A+, 2A-, 2A dan 1B berkata dia dimasukkan ke hospital akibat keracunan makanan dua hari sebelum kertas peperiksaan Bahasa Inggeris. 

Aimimuqri Harraz, 18, berkata dirinya mengalami gejala keracunan makanan seperti berasa mual, muntah dan cirit-birit dipercayai berpunca daripada sarapan dibelinya sebelum menghadiri kelas tambahan. 

“Keadaan semakin teruk pada sebelah malam termasuk muntah dan cirit-birit melebihi 20 kali, menyebabkan saya mengalami dehidrasi sehingga perlu ditahan di hospital selama lima hari,” katanya kepada pemberita semasa ditemui pada pengumuman keputusan SPM di sekolah itu hari ini.

Sepanjang tempoh berkenaan, anak bongsu daripada lima beradik itu menduduki empat kertas peperiksaan SPM iaitu Bahasa Inggeris, Matematik, Sejarah dan Pendidikan Islam di dalam wad. 

“Saya tidak pernah terfikir akan menduduki peperiksaan SPM di hospital. Semasa menjawab kertas soalan Bahasa Inggeris, saya masih mengalami muntah,” katanya yang bercita-cita menjadi juruterbang. 

Aimimuqri Harraz berterima kasih kepada ibu bapanya Wan Faziawati Wan Mohd, 54, dan Mohd Sufian Abdullah, 54, kerana sentiasa memberi semangat kepadanya, selain turut menghargai jasa doktor serta guru yang sering membantunya di hospital. 

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan