JENAYAH & MAHKAMAH

POLIS TAHAN PENGANGGUR DIPERCAYAI AKTIF JENAYAH RAGUT SEJAK JANUARI DI MELAKA

24/04/2025 04:59 PM

MELAKA, 24 April (Bernama) -- Polis berjaya menahan seorang lelaki dipercayai terlibat dalam kes ragut seorang lelaki warga emas di tempat letak kereta di sebuah pasar raya di Malim di sini semalam.

Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Muktar berkata suspek berusia 31 tahun itu ditahan oleh sepasukan polis dari Cawangan Siasatan Khas (D9), Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah bersama 'task force' Balai Polis Malim di lokasi kejadian kira-kira 1 tengah hari.

"Siasatan awal polis mendapati mangsa berusia 70 tahun diragut oleh suspek yang menunggang sebuah motosikal itu ketika ke tempat letak kereta di pasar raya berkenaan.

"Menyedari kehadiran polis, suspek bertindak melarikan diri sebelum sekumpulan penghantar makanan yang berada di kawasan berhampiran membantu pihak berkuasa menahan lelaki terbabit," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata penganggur yang ditahan itu didapati aktif menjalankan kegiatan ragut sejak awal tahun, dan dia didapati memiliki dua rekod jenayah lampau.

Dzulkhairi berkata ujian saringan air kencing mendapatinya suspek positif dadah jenis nimetazepam, dan dia kini direman selama enam hari bermula hari ini, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana meragut. 

Semalam tular satu video berdurasi 47 saat di Facebook yang memaparkan sekumpulan penghantar makanan menahan seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes ragut di sebuah pasar raya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan