KUALA LUMPUR, 24 April (Bernama) -- Pengusaha ladang babi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning beroperasi mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa, oleh itu cadangan pembangkang mengenai penambahbaikan operasi mereka adalah tidak relevan, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata pengusaha berkenaan sudah mendapat lesen mengusahakan ternakan mereka sejak sekian lama.
“(Kenapa) ketika mereka menjadi Pengerusi Jawatankuasa Pertanian tidak ada usaha untuk melakukan penambahbaikan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri ATM 2025 di Wisma Perwira ATM di sini, hari ini.
Timbalan Perdana Menteri berkata demikian bagi mengulas beberapa dakwaan pembangkang berhubung kewujudan ladang babi di kawasan berkenaan, yang menurut mereka perlu dibuat sesuatu.
Ditanya mengenai tahap keyakinanan berhubung peluang calon BN Dr Mohamad Yusri Bakir pada Pilihan Raya Kecil DUN Ayer Kuning, Ahmad Zahid berkata beliau berharap pengundi dari seluruh lapisan masyarakat dapat memberikan sokongan terhadap calon itu.
“Saya sendiri akan berada di Ayer Kuning esok dari pagi hingga malam, kita akan berusaha sedaya upaya dan sekuat mungkin untuk menentukan pengekalan kerusi itu di tangan BN,” katanya.
PRK DUN Ayer Kuning yang diadakan susulan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin, akibat serangan jantung pada 22 Feb lepas, menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohamad Yusri, calon Perikatan Nasional (PN) Abd Muhaimin Malek dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) Bawani KS.
– BERNAMA