AM

SEMAK KANDUNGAN LIBATKAN LAMBANG NEGARA SEBELUM SIAR, TERBIT - AARON DAGANG

24/04/2025 06:53 PM

KUALA LUMPUR, 24 April (Bernama) -- Individu dan organisasi perlu membuat semakan teliti terhadap kandungan yang melibatkan lambang negara, sama ada dalam bentuk fizikal atau digital, sebelum diterbit atau disiarkan.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata sikap cakna ini penting bagi memelihara maruah negara dan menyemai rasa hormat serta cinta kepada tanah air dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Saya ingin mengingatkan semua pihak sama ada dari sektor kerajaan, swasta, media mahupun individu, agar sentiasa peka dan bertanggungjawab dalam penggunaan Jalur Gemilang serta apa jua lambang yang melambangkan kedaulatan negara.

“Dalam era teknologi masa kini, penggunaan kecerdasan buatan (AI) semakin meluas dalam pelbagai bidang termasuk reka bentuk dan penyebaran kandungan digital. Namun begitu, kemajuan teknologi ini tidak boleh dijadikan alasan untuk sebarang kecuaian atau kesilapan dalam penggunaan lambang rasmi negara,” katanya menerusi hantaran di laman sosial X hari ini.

Beliau berkata lambang negara termasuk Jalur Gemilang bukan sekadar simbol semata-mata, malah ia  adalah manifestasi identiti, kedaulatan dan semangat perpaduan rakyat Malaysia. 

Kementerian Pendidikan dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung kesilapan pemaparan Jalur Gemilang dalam Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diedarkan hari ini.

Beberapa keping imej yang dijana oleh AI dipapar di muka surat 14 dan 15 dalam laporan itu, yang menunjukkan gambar Jalur Gemilang yang tidak betul.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan