KUALA LUMPUR, 24 April (Bernama) -- Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyambut baik inisiatif diplomatik Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menangani krisis kemanusiaan berpanjangan di Myanmar, yang dilihat sebagai langkah penting membina kepercayaan dan penyelesaian berkekalan di rantau ini.
Presidennya Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata pendekatan diplomatik yang inklusif, termasuk pertemuan bersama kumpulan penasihat tidak rasmi kepada Pengerusi ASEAN di Bangkok, Thailand jelas menunjukkan komitmen Malaysia memastikan keamanan dan dialog terbuka terus terjalin.
Beliau berkata sesi perbincangan secara maya bersama Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) Myanmar turut membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan kepada rakyat Myanmar yang terjejas pasca bencana gempa bumi.
“Peranan Malaysia merupakan langkah penting dalam membina kepercayaan serta membuka ruang untuk penyelesaian yang adil dan berkekalan setelah lama Myanmar kelihatan disisihkan akibat pertembungan dalaman.
“ABIM melihat inisiatif ini sebagai model diplomatik tahap tinggi yang perlu dijadikan teras utama dalam kalangan negara-negara ASEAN,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Fahmi berkata usaha interaksi dan dialog dengan Myanmar turut berjaya menghentikan konflik bersenjata atas asas kemanusiaan, selain membebaskan ribuan tahanan politik.
“Ini membuka ruang untuk merangka penyelesaian yang lebih menyeluruh bagi krisis kemanusiaan yang berlaku, terutamanya membabitkan beberapa komuniti dalam Myanmar termasuk Rohingya, yang telah berlarutan sehingga membebankan negara-negara serantau,” katanya.
Sehubungan itu beliau berkata Malaysia perlu terus memperkukuhkan peranan ASEAN sebagai platform diplomatik yang lebih proaktif dan berkesan, terutamanya dalam menyelesaikan isu pelarian Rohingya yang berlarutan.
“Ruang yang sama wajar dilakukan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN untuk terus mengadakan rundingan dan dialog bersama kumpulan berkepentingan lain dalam Myanmar.
“ABIM menegaskan Malaysia mesti terus berperanan secara konsisten dalam menegakkan hak asasi manusia di peringkat serantau dengan memanfaatkan kuasa diplomatik untuk membuat perubahan,” katanya.
-- BERNAMA