KUCHING, 24 April (Bernama) -- Warisan seni dan budaya negara ASEAN yang kaya menawarkan potensi besar untuk terus berkembang, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing.
Beliau berkata pada beberapa tahun kebelakangan ini, ASEAN bukan sahaja maju dari segi ekonomi, tetapi juga menyaksikan pengiktirafan yang semakin meningkat terhadap warisan seni dan budaya.
Warisan unik ini katanya, telah muncul sebagai satu daripada laluan untuk mendorong pertumbuhan inklusif, mewujudkan peluang pekerjaan, memperkasakan komuniti tempatan dan memelihara tradisi yang kaya.
"Daripada kraf purba kepada seni kontemporari, daripada perayaan Orang Asli kepada warisan kulinari – aset budaya kita ialah ekspresi hidup kepada identiti dan sejarah kita yang dikongsi bersama," katanya dalam ucapan pada perasmian Mesyuarat Majlis Komuniti Sosiobudaya ASEAN (ASCC) ke-33 di sini hari ini.
Tiong berkata dengan memperkukuh kerjasama merentas sempadan, menyusun pengalaman seni dan budaya yang mengasyikkan dan menyepadukan penceritaan ke dalam strategi pelancongan, ASEAN boleh menawarkan dunia sesuatu yang benar-benar unik.
"Marilah kita bersama-sama memperjuangkan satu model pelancongan yang bukan sahaja menarik pelawat, tetapi juga menyemarakkan jiwa negara kita dan memastikan kelangsungan warisan seni dan budaya untuk generasi akan datang.
"Perjalanan kita ke hadapan memerlukan komitmen dan kerjasama yang dibaharui kerana kita terus berdepan cabaran global di bawah tonggak ini, termasuk krisis kesihatan awam, perubahan iklim, perubahan mendadak dalam hal ehwal antarabangsa serta jurang ekonomi dan kebajikan sosial," katanya.
Mesyuarat ASCC yang berlangsung dari 22 hingga 26 April di Kuching merupakan mesyuarat peringkat menteri yang dianjurkan dua kali setahun untuk membincangkan isu utama sosiobudaya di seluruh rantau ASEAN.
Mesyuarat dihadiri wakil dari Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Vietnam dan Timor-Leste.
-- BERNAMA