AM

TIGA LELAKI MELECUR DALAM KEBAKARAN KILANG BANCUH CAT DI SENAI

24/04/2025 09:50 PM

KULAI, 24 April (Bernama) -- Tiga lelaki termasuk seorang warga Bangladesh melecur dalam kebakaran sebuah kilang membancuh cat di Taman Perindustrian Desa Idaman, Senai, di sini petang tadi. 

Komander Operasi, Penolong Penguasa Bomba Muhammad Fauzi Awang berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira 2.13 petang, sebelum 46 anggota bersama jentera terlibat digegaskan ke lokasi kejadian. 

Beliau berkata Pasukan Keluaran Operasi (PKO) yang tiba di tempat kejadian mendapati kebakaran berlaku melibatkan kilang berkeluasan 30x60 kaki persegi. 

“Kebakaran itu telah memusnahkan 95 peratus kilang berkenaan serta merebak ke dua kilang bersebelahan dan musnah 25 peratus, manakala sebuah jip, tiga kereta, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV), sebuah lori serta sebuah forklift turut terbakar 80 peratus. 

“Terdapat tiga mangsa melecur akibat kebakaran dan telah dibawa ke hospital menaiki ambulans Kementerian Kesihatan. Bagaimanapun, maklumat mangsa tidak diperoleh,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada 7.22 malam.

-- BERNAMA 

 

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan