KUALA LUMPUR, 24 April (Bernama) -- Jasmine Food Corporation Sdn Bhd tampil dengan kandungan media sosial unik mengetengahkan video resipi masakan dalam format muzikal yang pertama seumpamanya di Malaysia dengan penerbitan "Dapur Irama".
Siri kandungan kreatif itu yang mempersembahkan resipi masakan tempatan dengan kerjasama cef profesional, selain pempengaruh popular dalam bentuk lagu dan video, dihasilkan oleh kecerdasan buatan (AI), dan setakat ini telah mencatat lebih 9 juta tontonan melalui pelbagai platform digital Jasmine.
Selain Dapur Irama, sebagai usaha pemasaran jenamanya, turut diperkenalkan ialah drama bersiri "Seharum Bunga Jasmine" menerusi TikTok @jasminefoodmy dengan 30 episod pendek berdurasi dua hingga tiga minit, bermula esok.
Ketua Pegawai Eksekutif Jasmine Food Corporation Sdn Bhd Dennis Foo berkata kedua-dua kempen berkenaan menggabungkan elemen budaya tempatan, kreativiti berasaskan AI dan hiburan digital.
"Matlamat kami untuk meraikan tradisi sambil berkongsi kisah dengan cara yang lebih segar, berani dan dekat dengan jiwa rakyat Malaysia.
“Melalui Dapur Irama dan Seharum Bunga Jasmine, kami ingin lebih sekadar beriklan - kami mahu menghibur, memberi inspirasi dan membina hubungan yang bermakna,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata penerbitan drama Seharum Bunga Jasmine itu menjadikan syarikat berkenaan antara jenama Fast-Moving Consumer Goods (FMCG) pertama di Malaysia menghasilkan kandungan naratif bersiri khusus untuk platform video pendek.
Drama itu mengisahkan jutawan Ken dalam pencarian Ketua Pegawai Eksekutif baharu dilatari kisah perebutan kuasa dan cinta tiga segi penuh konflik dibintangi Auni Yusri, Amin Razak, Puteri Awani, Ayan Rahman, Oky Danial dan Mellysa Liesa.
-- BERNAMA