AM

KIBING GROUP BUKA 700 LAGI PELUANG PEKERJAAN KEPADA PENDUDUK SABAH

25/04/2025 03:37 PM

KOTA KINABALU, 25 April (Bernama) -- Kibing Group bakal membuka 700 lagi peluang pekerjaan kepada penduduk Sabah melalui program pengambilan pekerja yang dijadual bermula Mei ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata pengambilan baharu ini akan menjadikan jumlah rakyat Sabah yang bekerja dengan syarikat pengeluar kaca solar itu kepada 1,625 orang, merangkumi pelbagai jawatan dalam bidang pengurusan, kejuruteraan, teknikal dan operasi.

“Jumlah ini membentuk lebih 83 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja Kumpulan Kibing. Perkembangan positif ini bukan sahaja memperkasakan komuniti tempatan, malah turut menyumbang kepada usaha memupuk kemakmuran bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama warga kerja Kibing Group di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) di sini hari ini.

Hajiji berkata pengambilan pekerja baharu oleh Kibing Group akan dilaksanakan dengan kerjasama Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) bermula dari 13 hingga 23 Mei ini dengan proses pengambilan itu akan dijalankan di beberapa lokasi terpilih iaitu di Pejabat Daerah Ranau, Tuaran, Beaufort, Papar, Kota Kinabalu dan Penampang.

Sementara itu, beliau berkata pemain industri diseru agar tidak sekadar mengambil anak Sabah sebagai tenaga kerja, tetapi juga melabur dalam latihan dan pembangunan kemahiran mereka bagi memastikan kemajuan jangka panjang.

“Usaha kolektif ini penting untuk memastikan tenaga kerja tempatan kita memiliki kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk memenuhi tuntutan industri,” katanya sambil menyifatkan pelaburan Kibing Group sebagai bukti kejayaan perancangan kerajaan negeri bagi mewujudkan projek berimpak tinggi untuk kemajuan ekonomi Sabah.

Hajiji berkata ia merupakan detik yang amat bermakna buat negeri ini apabila Kibing Group memulakan pembinaan kilang pembuatan kaca solar berteknologi tinggi bernilai RM2.5 bilion di Sabah pada 2022.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan