AM

KERAJAAN SALUR RM30 JUTA MODENKAN SEKTOR PERTANIAN NEGARA

25/04/2025 09:07 PM

MELAKA, 25 April (Bernama) -- Kerajaan menerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) memperuntukkan RM30 juta bagi menjayakan Program Pengukuhan dan Permodenan Khidmat Mekanisasi dan Automasi Pertanian Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Jentera.

Pengerusi LPP Datuk Mahfuz Omar berkata peruntukan yang diterima dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) itu adalah usaha berterusan kerajaan untuk memodenkan sektor pertanian negara.

“Peruntukan ini juga membantu keberhasilan peningkatan hasil padi terutama di kawasan luar jelapang yang sehingga kini terdapat kira-kira 79,516 hektar, sekali gus memastikan tahap sara diri (SSL) meningkat dari semasa ke semasa.

“Dengan adanya peruntukan ini, kita harap ia dapat diberikan kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan membawa perubahan bersawah seterusnya para petani dapat melihat proses modenisasi kepada usaha-usaha membangunkan hasil pertanian,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyempurnakan penyerahan Program Pengukuhan dan Permodenan Khidmat Mekanisasi dan Automasi Pertanian PPN Jentera, yang turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan LPP Mohd Fauzi Badron.

Mahfuz berkata pihaknya juga percaya kerajaan akan menaikkan jumlah peruntukan itu dalam RMK13 bagi menumpukan usaha membantu aktiviti tanaman padi di kawasan luar jelapang untuk meningkatkan hasil.

Beliau berkata penggunaan teknologi dan automasi dalam pertanian itu juga adalah langkah penting untuk meningkatkan produktiviti dan menarik minat generasi muda menceburi bidang pertanian.

“Kita mahu melihat sektor pertanian menjadi lebih dinamik dan berdaya saing… dengan adanya peralatan moden dan kemudahan yang ditambah baik, kita yakin Pertubuhan Peladang akan dapat memberikan perkhidmatan lebih efisien kepada ahli-ahlinya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata LPP Melaka menerima peruntukan keseluruhan RM508,000 merangkumi dua komponen utama iaitu Program Pengukuhan dan Permodenan Khidmat Mekanisasi dan Automasi Pertanian PPN Jentera serta Program Mekanisasi dan Automasi Agromakanan Tahun 2024.

“Melalui peruntukan ini, LPP Melaka akan memperoleh peralatan pertanian moden dan ini dijangka dapat meningkatkan kecekapan operasi pertanian serta mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh luar.

“Selain itu peruntukan diterima ini juga akan digunakan untuk menaik taraf garaj penyimpanan jentera di PPN Jentera Ayer Keroh, bagi memastikan penyelenggaraan jentera dilakukan secara sistematik dan berkesan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan