AM

PRK AYER KUNING: IBU TUNGGAL CEKAL BAWA TIGA ANAK ISTIMEWA KELUAR MENGUNDI

26/04/2025 02:25 PM

TAPAH, 26 April (Bernama) -- Seorang ibu tunggal tetap membawa tiga anak istimewanya menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning hari ini, walaupun berdepan cabaran menguruskan mereka di pusat pengundian.

Suzana Ilias, 53, berkata ini adalah kali kedua anaknya Muhammad Khir Khairul Nizam, 29, Nur Fatimah, 28 dan Nur Ashikin, 25, masing-masing menghidap austime, keluar mengundi selepas melakukannya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15).

“Kali ini agak mencabar kerana saya seorang diri perlu menguruskan ketiga-tiga mereka. Dulu arwah ayah mereka ada membantu, tetapi selepas meninggal dunia tahun lepas, saya uruskan semuanya seorang diri.

“Walaupun dua daripada mereka boleh menguruskan diri sendiri, seorang lagi (Nur Fatimah) masih perlu dipantau rapi. Dia agak takut dengan suasana orang ramai, sebab itu saya selalu peluk dia,” katanya ketika ditemui Bernama di pusat pengundian Sekolah Menengah Kebangsaan Bidor, di sini.

Suzana berkata walaupun anak-anaknya dalam golongan Orang Kurang Upaya (OKU), mereka tetap mempunyai hak untuk mengundi dan memilih pemimpin.

“Saya ada ajar sikit tentang proses mengundi, selebihnya terpulang kepada mereka untuk buat pilihan sendiri," katanya yang tidak bekerja dan menetap di Rumah Awam Tiga, Bidor di sini.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan