AM

UMAT ISLAM DIMINTA "TABAYYUN" TERHADAP PAKEJ HAJI TIDAK MUNASABAH - NA'IM

26/04/2025 05:55 PM

JITRA, 26 April (Bernama) -- Umat Islam diminta bersikap "tabayyun", iaitu menyelidik atau menyiasat sesuatu pakej haji dirasakan tidak munasabah yang ditawarkan bagi mengelak ditipu menjelang musim haji tidak lama lagi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata kes penipuan pakej haji masih berlaku saban tahun dan perlu dipandang serius lebih-lebih lagi yang menggunakan selebriti untuk memperdayakan jemaah.

Sehubungan dengan hal itu, orang ramai yang berhasrat untuk menunaikan haji diminta berhati-hati dan meneliti terlebih dahulu setiap tawaran pakej haji, serta hanya berurusan dengan 37 syarikat Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang sah yang diberikan sijil oleh Lembaga Tabung Haji.

“Kumpulan pertama haji berlepas pada 29 hari bulan ini … akan ada pihak tidak bertanggungjawab yang mencari mangsa untuk jadi kaya cara mudah, saya merayu kepada mereka yang berhasrat ingin mengerjakan haji, semaklah dengan Tabung Haji.

“Kita tidak mahu wang yang mungkin dikumpul hilang begitu sahaja disebabkan kita tidak tabayyun, tidak semak betul-betul sehingga tidak tahu sama ada ejen terbabit bertanggungjawab atau tidak.

“Lebih sedih lagi apabila ejen menggunakan selebriti (untuk mempromosikan pakej haji) tanpa pengetahuan selebriti itu sendiri … jadi, semak dengan pihak Tabung Haji,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan kunci rumah kepada pembantu kafe Universiti Utara Malaysia (UUM), Mashitoh Khasim, 41, bersempena dengan Program Sinar Lestari YAPEIM di Kampung Rawa, dekat sini hari ini.

Mohd Na’im turut mengingatkan kepada bakal jemaah haji agar mengikut peraturan yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi terutama berkaitan permit haji agar perjalanan ibadah haji berjalan lancar.

“Janganlah kita menunaikan haji tanpa ada permit yang sah, ini amaran yang diberikan kerajan Arab Saudi, rakyat malaysia memang terkenal dengan disiplin, jangan disebabkan hal itu akhirnya Arab Saudi mengambil tindakan menarik balik keistimewaan yang diberikan kepada jemaah haji Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan