KUALA LUMPUR, 27 April (Bernama) -- Mahkamah Persekutuan akan membuat keputusan esok berkenaan permohonan kebenaran merayu yang dikemukakan oleh Peguam Negara, berkaitan kewujudan dokumen tambahan dalam kes yang melibatkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Panel tiga hakim, iaitu Ketua Hakim Malaya Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim, Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Zabariah Mohd Yusof, dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Hanipah Farikullah, dijadualkan menyampaikan keputusan pada pukul 9 pagi
Panel tersebut telah mendengar hujahan daripada Peguam Negara Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, dan peguam Najib Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, pada 24 Mac lepas berkaitan permohonan kebenaran Peguam Negara.
Pada 6 Jan lepas, melalui keputusan majoriti 2-1, Mahkamah Rayuan telah mengembalikan kes berkaitan dakwaan Najib mengenai kewujudan dokumen tambahan yang dikatakan membenarkannya menjalani baki hukuman penjara enam tahun di bawah tahanan rumah, ke Mahkamah Tinggi untuk didengar berdasarkan merit kes.
Keputusan ini membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi terdahulu, yang telah menolak permohonan Najib untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman berkaitan dokumen tambahan yang didakwa tersebut.
Peguam Negara, selaku pemohon telah memfailkan permohonan kebenaran untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan. Pemohon perlu mendapatkan kebenaran tersebut bagi meneruskan rayuan ke Mahkamah Persekutuan.
Najib, 71, dalam permohonan semakannya memohon perintah mandamus bagi mengarahkan responden memberi jawapan serta mengesahkan kewujudan dokumen tambahan bertarikh 29 Jan 2024.
Beliau menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu turut memohon perintah bahawa sekiranya dokumen tambahan tersebut wujud, semua responden atau mana-mana seorang daripada mereka hendaklah melaksanakannya dengan serta-merta, termasuk memindahkannya dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.
Pada 3 Julai tahun lepas, Hakim Datuk Amarjeet Singh yang menolak permohonan Najib untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman, memutuskan empat afidavit dikemukakan bagi menyokong dakwaan Najib termasuk kenyataan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, dianggap sebagai khabar angin dan tidak boleh diterima sebagai bukti di mahkamah.
Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Mahkamah Tinggi pada mulanya menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dan keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Persekutuan selepas menolak rayuan Najib.
Beliau kemudian memfailkan petisyen bagi mendapatkan pengampunan diraja pada 2 Sept 2022.
Bagaimanapun, Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjara daripada 12 tahun kepada enam tahun manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
-- BERNAMA