AM

JPV LAKSANA SUNTIKAN VAKSIN KAWAL WABAK HAWAR BERDARAH

27/04/2025 01:26 PM

KUALA TERENGGANU, 27 April (Bernama) -- Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu melaksanakan proses vaksinasi ke atas 224 ekor lembu dan kerbau bagi mengelak penularan wabak hawar berdarah atau Haemorrhagic Septicaemia (HS) di daerah Kuala Terengganu.

Pengarahnya Dr Anun Man berkata ia melibatkan ternakan yang berada dalam kawasan radius lima kilometer dari lokasi wabak itu mula dikesan pada 7 April lepas.

Beliau berkata langkah kawalan menerusi proses vaksinasi giat dilaksanakan kerana dikhuatiri menjejaskan bekalan lembu untuk ibadah korban sempena sambutan Aidiladha tidak lama lagi.

"Langkah kawalan dan kuarantin mula dibuat pada 24 April lepas selepas pengesahan wabak. Dalam tempoh dua hari JPV berjaya jalankan pemvaksinan ke atas 25 peratus ternakan daripada keseluruhan ladang yang ada dalam kawasan radius lima kilometer.

"Kita risau sekiranya tidak dikawal akan menjejaskan kelancaran ibadah korban. Ini kerana segala proses kemasukan serta pemindahan keluar ternakan bagi tujuan korban atau sembelih memerlukan permit untuk pengesahan kesihatan.

"Kebimbangan kita ialah apabila permintaan tinggi, terdapat kemasukan lembu secara haram dari luar. Bagi bekalan untuk korban, kebanyakan pengusaha sudah membawa masuk ternakan untuk digemukkan dalam masa sebulan," katanya ketika meninjau proses vaksinasi lembu dan kerbau di Kampung Manir di sini hari ini.

Dr Anun berkata cabaran utama JPV dalam mengawal wabak tersebut ialah kaedah penternakan secara lepas dan bebas oleh sebahagian besar penternak kerbau di Terengganu.

Beliau berkata perkara tersebut menjadi isu kerana JPV perlu menyediakan kandang kepungan (korel) bagi tujuan kuarantin dan memberi suntikan vaksin.

"Kita juga mengharapkan kerjasama daripada penternak untuk membawa ternakan yang dilepas bebas ke kandang masing-masing, seterusnya memaklumkan kepada jabatan untuk kita buat pemvaksinan.

"Kerbau yang dipelihara dengan cara lepas bebas sebenarnya berisiko tinggi kerana HS lebih kerap berlaku pada kerbau. Dengan keadaan cuaca yang ekstrem hujan dan panas seperti sekarang ini, penyakit hawar berdarah akan lebih mudah berjangkit," katanya.

Dr Anum berkata tahun lepas JPV Terengganu telah melaksanakan 11,731 suntikan vaksin HS ke ternakan lembu dan kerbau.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan