AM

SWSI: 162,000 PENGGUNA DI PULAU PINANG SUDAH DAPAT BEKALAN AIR SETAKAT 11.30 PAGI

27/04/2025 02:57 PM

GEORGE TOWN, 27 April (Bernama) -- Sebanyak 162,000 pengguna yang terjejas akibat Gangguan Air Berjadual (SWSI) dengan 100 peratus di kawasan Seberang Perai Utara (SPU) telah mendapat semula bekalan mereka setakat 11.30 pagi tadi.

Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menerusi hantaran di Facebook hari ini memaklumkan ia termasuk 88 peratus di kawasan Seberang Perai Tengah (SPT), 84 peratus di Timur Laut, 38 peratus di Seberang Perai Selatan (SPS) dan 10 peratus akaun di Barat Daya, turut pulih dalam tempoh sama.

“Ia tahap maksimum yang boleh dicapai pada masa ini oleh sebab kontraktor yang dilantik untuk Saluran Paip Menyeberangi Sungai Perai (SP-RCP) belum menyiapkan kerja.

“Sebagai respons kecemasan, PBAPP telah menghantar lebih pengimpal paip ke Sungai Perai untuk mempercepat kerja-kerja akhir secepat mungkin,” menurut PBAPP.

Gangguan bekalan air bermula pada 25 hingga 28 April, melibatkan 341,708 akaun pengguna di lima daerah di Pulau Pinang dengan PBAPP meminta pengguna untuk menyimpan bekalan secukupnya bagi kegunaan selama 24 hingga 60 jam.

Gangguan itu susulan pelaksanaan 23 projek dengan kos RM25 juta bagi menambah baik perkhidmatan bekalan air kepada kira-kira 465,000 pengguna air di kawasan perkhidmatan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua.

Pulau Pinang pernah mengalami gangguan bekalan air selama 96 jam dari 10 hingga 14 Jan tahun lepas dengan bekalan air di kebanyakan kawasan terputus sepenuhnya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan