KOTA BHARU, 27 April (Bernama) – Kerajaan bercadang untuk merangka pelan strategik industri kenaf agar setanding dengan industri kelapa sawit, getah serta koko, kata Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Beliau berkata kementeriannya kini sedang berbincang dengan Ketua Pengarah serta pegawai Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) bagi merangka pelan strategik itu.
“Untuk mengukuhkan industri kenaf, kita perlu mengenal pasti negara pengeluar utama, berjumpa dengan peladang selain meningkatkan nilai tambah produk berasaskan kenaf kepada 60 peratus supaya menjadi produk berasaskan barangan Malaysia.
“Oleh itu, kita perlu menyediakan perancangan lima tahun yang disertai sasaran jelas supaya industri ini dapat terus berkembang dan bertahan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Apresiasi Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara 2025 di sini, hari ini.
Johari berkata perancangan lima tahun itu akan memberikan justifikasi kepada LKTN untuk kekal sebagai agensi membangunkan industri kenaf kerana tanaman itu mempunyai banyak kegunaan.
Kementeriannya turut menyarankan LKTN menjadikan tanaman komoditi utama lain sebagai rujukan untuk mengembangkan industri kenaf di negara ini.
"Tanaman kenaf mempunyai prospek ekonomi yang baik namun LKTN perlu meneroka kaedah terbaik termasuk kemahiran dalam menghasilkan produk kenaf.
"Tanaman kenaf ini boleh menghasilkan pelbagai produk tetapi mesti ada kemahiran, jadi saya memberikan cadangan agar LKTN melihat bagaimana tanaman komoditi lain seperti kelapa sawit, getah dan koko boleh berjaya menjadi komoditi utama negara kerana kenaf belum sampai tahap tersebut," katanya.
Menurutnya LKTN akan menghantar ahli lembaga pengarahnya ke Bangladesh, China dan negara lain yang mengeksport kenaf untuk mengetahui proses kenaf dan perkara lain berkaitan.
Bagi mengembangkan produk kenaf, beliau berkata antara langkah yang diambil adalah menggunakan varieti kenaf baharu Malaysia Kenaf 1 (MK1) dan MK2 dengan sasaran pengeluaran satu hektar yang mampu mengeluarkan 20 tan metrik (1 tan metrik bersamaan 1,000 kilogram).
Mengulas berhubung tarif import yang dikenakan Amerika Syarikat kepada rakan dagangnya, Johari berkata Malaysia turut terkesan dengan penetapan tersebut.
Beliau berkata sebagai sebuah negara kecil, kerajaan akan cuba mengadakan perbincangan semula berhubung ketetapan itu.
Pada 2 April lepas, Trump mengumumkan satu siri tarif timbal balik yang dikenakan terhadap banyak negara termasuk 24 peratus ke atas import barangan daripada Malaysia namun kini ditangguhkan bagi tempoh 90 hari.
-- BERNAMA