KUALA TERENGGANU, 27 April (Bernama) -- Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin menitahkan penjawat awam di negeri itu agar meningkatkan kecekapan dan memperkasakan pentadbiran serta tadbir urus untuk memastikan kemajuan yang dicapai berkekalan serta hasil negeri dipertingkatkan secara mampan.
Sultan Mizan bertitah pegawai yang cekap, berilmu dan berkemahiran tinggi dapat melaksanakan tugas dengan penuh berkesan termasuk merancang strategi kutipan hasil, mengurus sumber negeri secara optimum serta memastikan penguatkuasaan undang-undang dilaksanakan dengan tegas dan saksama.
“Seiring dengan perkembangan semasa, beta lihat penguasaan dalam bidang pengurusan strategik, korporat, kewangan antarabangsa, komunikasi berkesan dan kefahaman mendalam terhadap dasar fiskal serta ekonomi semasa amat penting dalam memperkukuh keupayaan pegawai kerajaan.
“Pegawai yang berkaliber bukan sahaja mampu melaksanakan tanggungjawab dengan cekap malah berkeupayaan mengenal pasti peluang-peluang baharu bagi menjana pendapatan kepada negeri," titah baginda pada Istiadat Pengurniaan Bintang Darjah Kebesaran Negeri Terengganu sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-63 Hari Keputeraan Sultan Terengganu di Istana Syarqiyyah di sini, hari ini.
Pada masa yang sama mereka juga dapat mengurangkan ketirisan, mengekang pembaziran serta memastikan pengurusan sumber awam dilaksanakan secara berhemah, telus dan berintegriti, titah Sultan Terengganu.
Turut berangkat Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan, Tengku Setia Mahkota Raja Tengku Muhammad Mua’az dan Tengku Puteri Daulath Raja Tengku Fatimatuz Zahra’.
Dalam pada itu Sultan Mizan menzahirkan kebimbangan terhadap masalah hakisan pesisir pantai di Terengganu yang bukan sahaja mengubah bentuk muka bumi malah menjejaskan sempadan kedaulatan negara termasuk Zon Ekonomi Eksklusif iaitu 200 batu nautika daripada garisan pantai.
Baginda bertitah jika masalah tersebut dibiarkan berlarutan, perubahan garis pantai akibat hakisan turut memberi implikasi besar terhadap pengiraan sempadan maritim sesebuah negeri iaitu kawasan sejauh tiga batu nautika daripada pesisir pantai yang berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri akan terjejas termasuk perairan pulau dan sumber maritim.
“Lebih membimbangkan sempadan kawasan penangkapan hasil laut turut terjejas akibat fenomena hakisan pantai. Sumber-sumber laut yang dahulunya berada dalam perairan Terengganu kini berisiko terkeluar dari sempadannya.
“Keadaan ini boleh memberi kesan ketara terhadap ekonomi nelayan tempatan selain menjejaskan hak negeri ke atas sumber marin yang bernilai tinggi dan berpotensi. Oleh itu, usaha mitigasi dan pemuliharaan pesisir pantai perlu diberi perhatian serius demi menjamin kelestarian sumber semula jadi, kesejahteraan komuniti pesisir serta kedaulatan negeri,” titah baginda.
Baginda berharap usaha kawalan hakisan yang sedang dilaksanakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sejak 2023 akan dapat mengatasi masalah hakisan yang semakin meruncing itu.
Sultan Mizan juga menyarankan kerajaan negeri supaya mengambil langkah lebih proaktif dan komprehensif bagi memastikan penglibatan lebih ramai rakyat Terengganu dalam Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di negeri ini yang telah mencatatkan kemajuan 91 peratus.
-- BERNAMA