KUALA LUMPUR, 27 April (Bernama) -- ASEAN Ladies' Circle (ALC) Kuala Lumpur baru-baru ini mengadakan lawatan ke Rumah Seri Kenangan di Kajang sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial untuk menyokong warga emas dan mengukuhkan solidariti serantau.
Dalam lawatan yang diadakan pada 25 April itu, Presiden ALC Kuala Lumpur merangkap Duta Besar Filipina ke Malaysia, Maria Angela Ponce, menegaskan komitmen pertubuhan itu dalam memupuk perpaduan dan semangat keprihatinan dalam kalangan negara anggota ASEAN.
Beliau turut menekankan kepentingan menyokong komuniti rentan melalui penglibatan bermakna dan kerjasama serantau, menurut kenyataan ALC.
Program itu membawa keceriaan kepada 198 penghuni rumah berusia 60 tahun ke atas, yang kebanyakannya berdepan masalah kesunyian atau kekangan sokongan keluarga.
Delegasi lawatan diketuai Ponce, bersama Penaung Alternatif ALC Malaysia yang juga Timbalan Ketua Setiausaha (Perkhidmatan Pengurusan) Kementerian Luar Malaysia, Datin Paduka Siti Hajjar Adnin.
Turut hadir ialah ahli Jawatankuasa Eksekutif dan wakil negara dari Indonesia, Vietnam, Malaysia, Filipina dan Thailand, termasuk Duta Besar Thailand ke Malaysia, Lada Phumas.
ALC Kuala Lumpur turut menyampaikan sumbangan kewangan berjumlah RM5,000 kepada Rumah Seri Kenangan, dengan replika cek diserahkan oleh Ponce kepada Pengerusi Lembaga Pelawat, Datuk Zulkeflee Hazeh.
Delegasi turut melawat kemudahan di rumah berkenaan termasuk Bilik Aktiviti dan Terapi, serta beramah mesra dengan penghuni sepanjang lawatan itu, menurut kenyataan tersebut.
Ditubuhkan sebagai Perkumpulan Wanita ASEAN, ALC Kuala Lumpur memperjuangkan perpaduan, pertukaran budaya, bantuan bencana dan pemerkasaan komuniti di seluruh ASEAN.
Tahun ini, aktiviti ALC Kuala Lumpur diselaraskan dengan Pengerusi ASEAN Malaysia 2025, sekali gus memperkukuh lagi misinya di peringkat serantau.
-- BERNAMA