KOTA KINABALU, 27 April (Bernama) -- Lebih 3,000 orang pencari kerja mengunjungi program Kembara Kerjaya MADANI SPA X Semarak ESSCOM X MyFutureJobs yang berlangsung selama dua hari di Kudat dan Pulau Banggi yang berakhir hari ini.
Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) Datuk Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus berkata berkata program itu melibatkan pelbagai pengisian seperti perkhidmatan konsultasi SPA berkaitan pengambilan ke perkhidmatan awam.
Beliau berkata para pengunjung turut diberi penerangan tentang kesesuaian jawatan yang dimohon, semakan status permohonan, dan pendaftaran melalui sistem Pendaftaran Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA9) serta inisiatif MyFutureJobs.
“Turut diadakan ialah sesi perkongsian Tips Temu Duga oleh Ahli Suruhanjaya serta taklimat keselamatan dan kerjaya oleh Eastern Sabah Security Command (ESCOMM) dan PERKESO,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Katanya 37 penyertaan daripada kementerian, jabatan, agensi dan majikan swasta terlibat dalam program ini, termasuk Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP), Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (SPANS), Insitut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM), GIATMARA, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dan Lembaga Koko Malaysia.
Ahmad berkata program itu merupakan kesinambungan program kerjaya yang telah dilaksanakan oleh SPA di Sabah sepanjang 2024, meliputi kawasan Tambunan, Telupid, Sandakan, Sukau dan Semporna.
Program kerjaya di Kudat dan Pulau Banggi itu turut dimeriahkan dengan Jualan Rahmah MADANI oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan kaunter pemeriksaan kesihatan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah.
-- BERNAMA