IPOH, 27 April (Bernama) -- Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata kerajaan negeri tidak mampu menyelesaikan kemelut kewangan yang membelenggu pasukan bola sepak Perak FC ketika ini.
Beliau berkata kos pembiayaan untuk Perak FC terlampau tinggi dan memerlukan perbelanjaan besar setiap musim.
"Permainan bola sepak di Malaysia terlampau mahal, tak tertanggung dek kerajaan negeri. Saya harap peminat bola sepak faham, bukan Perak sahaja tidak mampu, negeri-negeri lain pun tidak mampu.
"Kita juga tidak mampu menyelesaikan masalah tunggakan gaji pemain Perak FC. Itu adalah atas tanggungan (pihak yang menaja Perak FC)," katanya.
Saarani berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Riang Raya Aidilfitri Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri Perak Bersama Menteri Besar di pekarangan Stadium Indera Mulia di sini hari ini.
Bagaimanapun, beliau berkata pembangunan bola sepak masih diteruskan melalui Persatuan Bolasepak Perak yang berperanan mencungkil bakat baharu dalam kalangan pelajar sekolah dan golongan belia.
"Kos (pembangunan bola sepak) amat berpatutan dan kerajaan negeri ada juga membantu membiayai tidak sampai RM1 juta pun," katanya.
Semalam, Pengerusi Perak FC Datuk Seri Azim Zabidi mengesahkan bahawa skuad The Bos Gaurus terpaksa menarik diri daripada saingan Liga Super musim akan datang kerana berdepan isu kewangan.
Azim berkata pihaknya sudah melakukan yang termampu untuk membangunkan pasukan termasuk membelanjakan hampir RM40 juta sejak tiga tahun lepas.
-- BERNAMA