AM

PETUGAS TABUNG HAJI ANJUR BACAAN YASIN, DOA SELAMAT MOHON KELANCARAN OPERASI HAJI

28/04/2025 09:00 AM

Daripada Nurliyana Farhah Ruslan

MADINAH, 28 April (Bernama) -- Petugas Tabung Haji (TH) bagi musim 1446H/2025M mengambil peluang melaksanakan bacaan yasin dan doa selamat di Ibu Pejabat TH di bangunan Roha Al-Madinah di sini.

Bacaan yasin itu diadakan selepas solat maghrib yang dipimpin oleh Pengurus Ibadat Haji Madinah Ustaz Mohamad Zahir Hussin@Yusof.

Pengarah Operasi Madinah Affandi Abdullah berharap urusan operasi haji musim ini berjalan lancar dan semua jemaah serta petugas diberikan kesihatan yang baik sepanjang bertugas di tanah suci.

“Program tradisi ini biasanya dihadiri semua petugas di Pusat Perkhidmatan Operasi (PPO) Madinah. Alhamdulilah, sekarang ada lebih 60 petugas telah tiba dan bersedia untuk menyambut ketibaan atau kedatangan kumpulan jemaah haji Malaysia yang pertama,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Kumpulan pertama jemaah haji Malaysia dijangka tiba esok (29 April) pada 7.50 pagi waktu tempatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohamad bin Abdulaziz, Madinah dengan menaiki pesawat Malaysia Airlines.

Pelbagai program ibadah dan ziarah telah diatur TH untuk jemaah haji Malaysia sepanjang berada di Madinah sebelum meneruskan perjalanan ke Mekah bagi melaksanakan ibadah haji.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan