PUTRAJAYA, 28 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Maldives Dr Mohamed Muizzu, hari ini menyaksikan pertukaran tiga Memorandum Persefahaman (MoU) dan dua Pertukaran Nota (EoN) merangkumi pelbagai sektor, bertujuan mengukuhkan kerjasama dalam pelbagai bidang dengan semangat manfaat bersama.
Majlis yang berlangsung di bangunan Perdana Putra di sini, adalah sebahagian daripada lawatan rasmi empat hari Muizzu ke Malaysia yang bermula semalam.
Antara perkara penting ialah MoU antara kerajaan Malaysia dan Maldives dalam bidang pelancongan, kerjasama dalam bidang sukan dan kerjasama dalam bidang kesihatan.
Dua EoN pula dalam bidang latihan diplomatik dan penubuhan perundingan dua hala antara Malaysia dan Republik Maldives.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dan Menteri Luar Negeri Maldives Dr Abdulla Khaleel, masing-masing mewakili Malaysia dan Maldives dalam pertukaran dokumen dalam bidang sukan.
Sementara itu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bertukar MoU antara kementeriannya dalam bidang kesihatan dengan Abdulla Khaleel.
Dalam bidang pelancongan, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Khairul Firdaus Akbar Khan bertukar MoU dengan Pesuruhjaya Tinggi Republik Maldives ke Malaysia Dr Mariyam Shabeena Ahmed, sementara Timbalan Menteri Luar Negeri Datuk Mohamad Alamin bertukar Pertukaran Nota dengan Dr Mariyam Shabeena Ahmed.
Esok, Muizzu akan dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam Kepimpinan Islam dan Pembangunan Madani oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Penganugerahan ijazah kehormat itu akan disempurnakan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah selaku Ketua Perlembagaan UIAM.
Sempena penganugerahan itu, Muizzu juga akan menyampaikan syarahan umum bertajuk “The Intellectual Renaissance: Unveiling the Scientific and Modern Developments of Islamic Civilization”.
Pada 2024, jumlah dagangan Malaysia dan Maldives mencatatkan peningkatan 4.3 peratus kepada RM862.7 juta (USD189 juta) berbanding RM827.3 juta (USD180.9 juta) pada 2023, menjadikannya rakan dagangan keenam terbesar Malaysia dalam kalangan negara Asia Selatan.
-- BERNAMA