PUTRAJAYA, 28 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia dan Maldives berkongsi aspirasi yang sama dalam menegakkan komitmen antarabangsa dan berusaha untuk menghentikan genosid di Palestin.
Dalam sidang media bersama Presiden Maldives Dr Mohamed Muizzu di sini, Anwar memuji keputusan berani Muizzu untuk menghalang pemegang pasport Israel daripada memasuki Maldives, menggambarkan ia sebagai pendirian yang berani dan berprinsip terhadap keganasan yang berterusan berlaku.
Perdana Menteri berkata sejak kemerdekaan, Malaysia tidak pernah mengiktiraf Israel, terutamanya kerana penolakan mereka untuk menghormati hak asasi manusia, menghormati komitmen antarabangsa dan menghentikan tindakan genosid di Palestin, khususnya di Gaza.
“Kami (Malaysia dan Maldives) berkongsi sentimen dan aspirasi yang sama dan saya telah menyatakan bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia bahawa kami sememangnya memberi penghormatan tinggi dan pujian kepada beliau (Presiden Maldives) atas keberanian dan pendirian berprinsipnya,” kata Anwar.
Muizzu, yang tiba semalam untuk lawatan rasmi empat hari ke Malaysia, diberikan sambutan rasmi di Bangunan Perdana Putra, hari ini.
Sambutan itu menandakan lawatan Muizzu buat kali pertama ke Malaysia sejak beliau memegang jawatan presiden pada November 2023, selepas menerima jemputan Perdana Menteri.
Sementara itu, Muizzu berkata Maldives tetap teguh bersama Palestin dalam perjuangannya untuk kemerdekaan, dengan Jerusalem Timur sebagai ibu negaranya, berdasarkan sempadan pra-1967.
“Kami ulangi sokongan padu kami kepada rakyat Palestin dalam perjuangan sah mereka untuk mendapatkan taraf sebuah negara.
“Rakyat Palestin berhak mempunyai negara mereka sendiri yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Jerusalem Timur sebagai ibu negaranya,” katanya.
Dalam satu kenyataan bersama, Anwar dan Muizzu turut menyatakan kecaman kuat terhadap semua bentuk keganasan dan manifestasinya, menegaskan komitmen mereka untuk menolak keganasan dan membawa pelakunya ke muka pengadilan.
-- BERNAMA