PUTRAJAYA, 28 April (Bernama) -- Malaysia dan Maldives hari ini memperbaharu perjanjian kerjasama bidang kesihatan yang telah tamat pada 2023.
Pembaharuan Memorandum Persefahaman (MoU) bagi menyokong kerjasama berterusan dalam sektor pembangunan sumber, pertukaran pengetahuan, teknologi perubatan, farmaseutikal, perubatan tradisional, teknologi maklumat, keselamatan makanan dan pelancongan kesihatan.
MoU berkenaan mencerminkan komitmen kedua-dua negara terhadap penjagaan kesihatan yang berkualiti tinggi berasaskan piawaian dan selaras dengan kemajuan teknologi.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Menteri Luar Negeri Maldives Dr Abdullah Khaleel menandatangani MoU itu dalam majlis yang berlangsung di Perdana Putra di sini, dengan disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Maldives Dr Mohamed Muizzu.
Majlis tersebut adalah sebahagian daripada lawatan rasmi selamat empat hari Muizzu ke Malaysia yang bermula semalam.
Turut ditandatangani adalah MoU bidang sukan yang bertujuan meningkatkan kerjasama berasaskan prinsip timbal balik.
Ia merangkumi usaha menggalakkan penyertaan acara sukan, pertukaran maklumat melalui seminar, pembangunan kemudahan sukan, mempermudah pertukaran atlet dan jurulatih serta kerjasama dalam anti-doping, perubatan sukan dan mempromosikan sukan untuk semua.
MoU pelancongan pula merangkumi rangka kerja menyeluruh bagi kerjasama dalam bidang utama yang menjadi kepentingan bersama, sekali gus menandakan satu langkah penting dalam memperkukuh hubungan Malaysia-Maldives.
Ini termasuk promosi dan pemasaran destinasi pelancongan secara bersama, pertukaran kepakaran dan pembangunan kapasiti melalui program latihan, tawaran pelancongan mesra Muslim, pelancongan acara perniagaan, promosi ekopelancongan dan sokongan kepada inisiatif pelancongan berasaskan komuniti.
MoU tersebut menandakan satu pencapaian penting dalam hubungan Malaysia-Maldives dan mengukuhkan komitmen bersama kedua-dua negara untuk mempromosikan pembangunan pelancongan yang mampan.
Sementara itu, dua dokumen Pertukaran Nota (EoN) adalah berkaitan penubuhan konsultasi dua hala antara Kementerian Luar Negeri Malaysia dan Maldives.
Perundingan ini bertujuan meningkatkan dan mengukuhkan kerjasama dalam bidang utama seperti hubungan politik, ekonomi dan sosial serta memudahkan perbincangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.
EoN berkaitan latihan diplomatik yang melibatkan kerjasama antara Malaysia dan Maldives dalam bidang latihan diplomatik akan dilaksanakan menerusi Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR) Malaysia serta Institut Perkhidmatan Luar Negeri Maldives.
Inisiatif ini bertujuan memperkukuh pembangunan profesional dan pembinaan kapasiti untuk diplomat dari kedua-dua negara melalui rangka kerja pemahaman bersama tanpa mewujudkan sebarang obligasi yang mengikat secara sah.
-- BERNAMA