Oleh Siti Noor Afera Abu
KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Malaysia menyasar untuk menjadi destinasi pelaburan dan pusat rantaian bekalan utama seterusnya di Asia menerusi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menjadi peneraju dalam transformasi ini, merangka strategik untuk menarik pelabur global dan membentuk semula dinamik perdagangan serantau.
Zon ekonomi itu yang kali pertama dicadangkan pada 2023, kini semakin meraih momentum dan menarik perhatian pelabur.
Ini juga menandakan satu lagi kejayaan bersejarah dalam hubungan Malaysia-Singapura, dengan kedua-dua negara bekerjasama erat untuk saling melengkapi dalam landskap ekonomi yang sedang berkembang pesat.
Sebagai rakan dagangan utama antara satu sama lain dalam ASEAN, kedua-dua negara bersedia untuk menyepadukan lagi ekonomi mereka melalui JS-SEZ, didorong oleh kerjasama strategik dan pelaburan yang besar.
JS-SEZ sebagai Pintu Masuk ke Rantaian Bekalan Global dan Pembuatan Pintar
Menerusi satu temu bual eksklusif bersama Bernama, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid menekankan tentang potensi transformatif JS-SEZ.
"Kita sedang menyaksikan penciptaan kuasa ekonomi yang menggabungkan yang terbaik dari kedua-dua negara. Ini bukan sekadar kerjasama - ia adalah integrasi strategik pada skala yang tidak pernah berlaku sebelum ini," katanya.
Beliau berkata Singapura memainkan peranan saling melengkapi, menyumbang dari segi kesalinghubungan logistik dan infrastruktur kewangannya yang kukuh.
Penyepaduan negara itu ke dalam rangka kerja JS-SEZ meningkatkan akses ke pasaran global, terutamanya melalui rangkaian pengangkutan udara dan perkhidmatan kemudahan perdagangannya.
"Perniagaan yang beroperasi di JS-SEZ akan mendapat manfaat daripada kedekatan dengan persekitaran kewangan yang matang, disokong oleh institusi kewangan di kedua-dua negara yang memudahkan transaksi dan perdagangan rentas sempadan.
"Ekosistem ini melengkapkan objektif zon itu untuk menyediakan platform yang lancar bagi pertumbuhan serantau dan antarabangsa," kata Sikh Shamsul.
Beliau berkata kehebatan teknologi Malaysia menambah satu lagi dimensi penting kepada perkongsian ini.
Malaysia merupakan hab pembuatan semikonduktor unggul di dunia, menguasai tujuh peratus daripada pasaran global dan separuh daripada syarikat semikonduktor terkemuka dunia beroperasi di sini.
Pencapaian ini menonjolkan evolusi negara menjadi hab pembuatan yang dipacu inovasi.
Apa yang menjadikan JS-SEZ benar-benar unik ialah keupayaannya untuk memanfaatkan kekuatan yang dimiliki kedua-dua Malaysia dan juga Singapura.
“Perniagaan boleh memanfaatkan ketersambungan global Singapura yang mantap sambil memanfaatkan keupayaan padu perindustrian Malaysia, dasar berfokuskan inovasi dan ekosistem pembuatan yang rancak.
"Daripada semikonduktor kepada bahan kimia khusus, kita menyediakan ruang bagi penciptaan rantaian nilai bersepadu bagi masa depan. Dengan JS-SEZ, kita bukan sekadar mewujudkan zon - kita sedang membina pintu masuk: pintu masuk ke rantaian bekalan global, pembuatan generasi akan datang, dan kerjasama serantau," katanya.
Malaysia menyediakan infrastruktur pelabuhan bertaraf dunia, sektor perkhidmatan kewangan yang teguh, dan asas perusahaan yang dipacu teknologi yang semakin berkembang.
Bersama-sama Singapura, JS-SEZ menawarkan platform yang mana perniagaan boleh berinovasi, dan berkembang maju, meletakkan Malaysia sebagai peneraju utama dalam landskap ekonomi global, katanya.
Memanfaatkan Potensi Tempatan untuk Memacu Kemajuan Global
Rancangan Malaysia untuk mengembangkan ekonominya bukan semata-mata bagi menarik pelaburan asing malah untuk membantu perniagaan tempatan berkembang dan menyepadukan ke dalam rantaian bekalan global dan serantau.
Sikh Shamsul berkata MIDA memainkan peranan penting dengan menyokong industri utama, menyelaras dasar, menambah baik infrastruktur, membangunkan bakat, dan memacu projek seperti JS-SEZ.
Agensi itu memberi tumpuan untuk membantu syarikat tempatan berkembang melalui program yang memudahkan kemasukan pasaran, pematuhan peraturan dan pembinaan keupayaan.
Ini termasuk, pertamanya, pembangunan vendor yang membolehkan pembekal tempatan untuk menyepadu ke dalam rantaian nilai semikonduktor global melalui latihan kemahiran dan penilaian keupayaan.
Kedua, mengadakan acara rantaian bekalan untuk membina rangkaian antara perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan dan pemain global dalam ekosistem infrastruktur digital.
“Ketiga, daya tahan pembuatan melalui penggunaan teknologi, yang mana program menyokong PKS mengguna pakai sistem pembuatan pintar, automasi dan platform digital sejajar dengan Industry4WRD,” katanya.
Beliau berkata pembangunan bakat kekal sebagai asas penting kepada strategi ini.
"Melalui Program Pemadanan Siswazah-Industri kami, kami mencipta generasi pemimpin teknologi Malaysia yang akan datang.
"Kami bukan sekadar memenuhi keperluan semasa — kami sedang membina kepakaran dalam kecerdasan buatan (AI), reka bentuk semikonduktor, mekatronik dan pembangunan perisian termaju. Inisiatif latihan kami yang ditumpukan kepada analisis data, reka bentuk papan litar bercetak dan litar analog memastikan Malaysia terus menreraju dalam inovasi teknologi," katanya.
Limpahan Peluang Pasaran
Pemimpin industri juga teruja untuk memanfaatkan potensi JS-SEZ, yang disasarkan menjadi hab pelaburan ASEAN seterusnya.
Ketua Pegawai Eksekutif ST Telemedia Global Data Centres Southeast Asia Lionel Yeo berkata JS-SEZ berpotensi besar untuk menampung peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan pusat data merentas rantau Asia-Pasifik.
Ini, katanya, mendorong syarikat untuk terus meneroka peluang pengembangan dan mengukuhkan kehadirannya di Johor sebagai hab strategik.
"Kami berhasrat untuk terus menyokong pelanggan kami merentas pelbagai pasaran, memastikan tahap perkhidmatan yang konsisten tanpa mengira geografi. Fokus kami adalah untuk memastikan perniagaan dan pengguna akhir berkembang bukan sahaja di dalam negara, tetapi juga di peringkat global," katanya.
Beliau berkata usaha proaktif kerajaan Malaysia untuk menarik pelaburan pusat data telah melonjakkan industri tersebut sejak lima tahun lepas.
“Hanya lima tahun lalu, Malaysia mempunyai kira-kira 50 megawatt kapasiti pusat data. Hari ini, ia telah berkembang lebih daripada tiga puluh kali ganda kepada kira-kira 1.5 gigawatt.
"Ini merupakan pencapaian luar biasa yang didorong oleh penggubalan dasar yang mantap," katanya.
Yeo juga berkata terdapat peluang besar untuk pembangunan pusat data di Malaysia, khususnya di Johor yang memiliki ruang dan kapasiti kuasa.
Ini meletakkan negara sebagai lokasi yang berpotensi bagi pertumbuhan masa depan di rantau ini, terutamanya dengan mengambil kira pengembangan permintaan serantau.
“Secara bersama-sama, Johor dan Singapura membentuk perkongsian yang kukuh, berada di kedudukan baik untuk terus memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap perkhidmatan pusat data di seluruh Asia-Pasifik,” katanya.
Begitu juga, pembekal perkhidmatan pembuatan elektronik yang berkembang di Malaysia, CAPE EMS Bhd, yang terkenal dengan kepakarannya dalam pengeluaran dan penghantaran komponen dan peranti elektronik, melihat potensi besar yang terdapat di JS-SEZ.
Pengarah Urusan CAPE EMS Bhd Christina Tee berkata lokasi strategik JS-SEZ di Johor berfungsi sebagai platform kukuh bagi syarikat itu untuk terus meneroka pasaran Singapura.
“Ini adalah langkah yang sangat positif dan keputusan bijak oleh kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.
"Kami sudahpun menjalin beberapa kerjasama dengan syarikat Singapura, dan saya yakin dengan galakan khas yang ditawarkan oleh zon perdagangan bebas itu, perkongsian tempatan akan mempunyai peluang yang lebih besar," katanya.
-- BERNAMA