JENAYAH & MAHKAMAH

POLIS MELAKA TUMPASKAN SINDIKET PROSES KAD DEBIT BANK UNTUK PASARAN JEPUN

28/04/2025 04:59 PM

MELAKA, 28 April (Bernama) -- Polis Melaka menumpaskan sindiket memproses kad debit bank dengan penahanan seorang lelaki warga Singapura di sebuah kondominium di Tengkera, di sini pada 23 April lepas.

Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata lelaki berumur 42 tahun itu ditahan bersama 227 kad visa debit Joint Development Bank berpangkalan di Laos dan pelbagai peralatan digunakan untuk memproses kad debit klon berkenaan, antaranya mesin pemotong laser, heat gun blower dan mesin pengimbas kad debit, dalam serbuan pada 1.15 tengah hari itu.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kesemua kad debit berkenaan dicetak dengan nama warganegara Jepun dan kad terbabit dipercayai dijual ke pasaran negara itu.

"Siasatan awal mendapati suspek menyewa kondominium itu sejak Januari tahun ini dan menjadikan premis berkenaan sebagai tempat memproses kad debit klon.

"Suspek didapati menerima bekalan kad debit Joint Development Bank daripada pihak tertentu melalui kurier dan kemudiannya akan meniru data daripada kad debit bank berkenaan serta membuat cetakan kepada kad klon kosong menggunakan mesin laser," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata kad klon yang dicetak itu kemudiannya akan ditampal dengan cip dan jalur magnetik sebelum menukar kategori kad itu sama ada kepada premium atau platinum.

Katanya, suspek kemudian akan menguji kad debit klon yang baharu menggunakan mesin pengimbas dan mesin terminal untuk memastikan kad itu boleh digunakan.

Dzulkhairi berkata kesemua kad yang telah siap diproses akan dihantar kepada pemilik baharu menggunakan kurier dan suspek akan menerima bayaran bulanan sebanyak SDG3,800.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan Seksyen 424 A Kanun Keseksaan kerana memiliki instrumen pembayaran atau akaun di institusi kewangan tanpa kuasa sah atau maksud sah selain Peraturan 39B Akta Imigresen 1959/63 kerana melanggar syarat pas, permit atau pas sempadan.

Suspek katanya, direman lima hari hingga hari ini dan permohonan tambahan tempoh reman akan dibuat bagi menjalankan siasatan lanjut.

Dalam perkembangan lain, Dzulkhairi berkata lima lelaki warga tempatan berumur 21 hingga 32 tahun ditahan kerana disyaki terlibat dalam sindiket penipuan tawaran pekerjaan tidak wujud melibatkan kerugian kira-kira RM1.82 juta.

Beliau berkata kesemua suspek yang berperanan sebagai pegawai khidmat pelanggan bagi aktiviti penipuan itu ditahan di dua unit kondominium di Ayer Keroh, di sini yang dijadikan sebagai pusat panggilan sejak empat bulan lepas dan menyasarkan rakyat tempatan dengan menawarkan pekerjaan tidak wujud menerusi platform media sosial seperti Facebook, WhatsApp dan Telegram.

"Setakat ini, kita menerima 14 laporan, dan mangsa antaranya dari Melaka, Perak, Kedah, Selangor, Pahang dan Pulau Pinang dengan tawaran gaji bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000.

"Pada mulanya, mangsa dijanjikan dengan tawaran pekerjaan sambilan dalam talian melalui laman sesawang mata wang kripto deribittrade dan mangsa juga ditawarkan komisen 10 peratus bagi setiap pelaburan mata wang kripto yang disertai," katanya.

Dzulkhairi berkata pelbagai peralatan komputer dan 64 telefon bimbit dipercayai digunakan untuk memperdaya mangsa turut dirampas.

Beliau berkata semakan lanjut mendapati seorang daripada lima suspek berkenaan mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan dadah dan pengurungan salah, serta kesemua mereka ditahan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan