JENAYAH & MAHKAMAH

POLIS MOHON KESAN REMAJA PEREMPUAN HILANG SEJAK 21 APRIL

28/04/2025 05:37 PM

IPOH, 28 April (Bernama) -- Polis meminta bantuan orang ramai mengesan seorang remaja perempuan berumur 14 tahun yang dilaporkan hilang sejak 21 April, dengan kali terakhir dilihat di hadapan bangunan Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak. 

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata laporan kehilangan Nur Darwisyah Aina Mohamad Farid, dibuat oleh bapanya kira-kira 9.46 pagi hari sama di Balai Polis Sungai Senam. 

Beliau berkata bapa remaja itu menyedari kehilangan tersebut kira-kira 6.30 petang 20 April, apabila pengadu mahu mengambil anaknya selepas tamat sesi latihan sukan Judo di MSN Perak.

“Siasatan awal mendapati pengadu telah menghantar anaknya ke asrama sukan MSN bagi tujuan latihan dan perlu menjalani latihan selama dua hari 18 hingga 20 April.

“Pada sebelah petang 20 April sekitar 6.30 petang ketika pengadu mahu mengambil anaknya, didapati anaknya tiada di asrama terbabit selain telefon bimbit dimatikan,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Abang Zainal Abidin berkata pengadu telah mencari di sekitar Ipoh, tetapi gagal menemukan anak perempuannya dan memaklumkan bahawa remaja terbabit mempunyai ciri fizikal iaitu berkulit cerah dan berkaca mata. 

Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan mangsa diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh menerusi talian 05-2451500.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan