AM

STESEN PEMINDAHAN SISA PEPEJAL SEMENTARA AKAN DIBINA DI TAMPIN

29/04/2025 11:40 AM

SEREMBAN, 29 April (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan merancang membangunkan fasiliti Stesen Pemindahan Sisa Pepejal di sekitar Tampin sebagai pusat pengumpulan sisa pepejal sementara, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan diberitahu hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri J. Arul Kumar berkata stesen pemindahan ini berfungsi sebagai lokasi untuk kenderaan kutipan sisa pepejal, seperti kompaktor yang akan menghantar sisa pepejal sebelum ia dipindahkan ke tapak pelupusan utama pada hari yang sama.

"Bagi perancangan jangka masa panjang, semua sisa pepejal di seluruh negeri ini dilupuskan di Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Ladang Tanah Merah, Port Dickson, iaitu Fasiliti Waste Segregation Facility (WSF) dan Waste to Energy (WTE) yang siap dibina," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Yew Boon Lye (PH-Chuah) yang meminta kerajaan negeri memperincikan bilangan tapak pelupusan sampah yang aktif di negeri ini dan tempoh anggaran jangka hayat bagi setiap tapak.

Arul Kumar berkata Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Ladang Tanah Merah, Port Dickson merupakan projek pertama di Malaysia dengan kerjasama kerajaan Persekutuan untuk menaik taraf sistem dan kaedah pelupusan sisa pepejal yang mesra alam.

Beliau berkata melalui sistem pengurusan sisa pepejal seperti ini, ia dapat meningkatkan perkhidmatan penghantaran sisa pepejal tanpa mengganggu jadual perkhidmatan kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam sedia ada. 

Dalam pada itu, Arul berkata melalui Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672), kerajaan Persekutuan telah mengambil alih operasi di lima tapak pelupusan sisa pepejal sedia ada di negeri ini pada 1 Nov 2016. 

Bagaimanapun, bermula pada 2019, dua tapak pelupusan telah ditamatkan operasi kerana telah penuh, iaitu Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Keru, Tampin dan Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Kok Foh, Jempol. 

"Kini hanya tiga tapak pelupusan sisa pepejal sahaja masih beroperasi, iaitu Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Bersepadu Ladang Tanah Merah PD, Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Ulu Maasop, Kuala Pilah (jangka hayat dua tahun sembilan bulan - hingga 2028) dan Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sungai Muntoh, Jelebu (jangka hayat hingga 2118)," katanya.

Beliau berkata kerajaan Persekutuan setakat ini tiada perancangan untuk menaik taraf tiga tapak pelupusan sedia ada atau membina tapak pelupusan baharu menggantikan Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Ulu Maasop, Kuala Pilah dan Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sungai Muntoh, Jelebu. 

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan