AM

BERNAMA TERUSKAN PROGRAM SARINGAN KESIHATAN ESP, PUPUK KESEDARAN KESIHATAN JANTUNG

29/04/2025 04:21 PM

KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) -- Bagi memastikan kebajikan dan kesihatan petugasnya sentiasa pada tahap terbaik, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) meneruskan Program Pemeriksaan Kesihatan atau Executive Screening Programme (ESP) di Institut Jantung Negara (IJN), pada tahun ini.

Kali ini, sebanyak 59 petugas agensi berita itu menjalani pemeriksaan kesihatan yang bukan sahaja bertujuan memupuk kesedaran warganya mengenai kesihatan jantung, malah bagi menggalakkan amalan gaya hidup sihat.

Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin berkata memasuki tahun kedua pelaksanaan program ESP itu, Bernama pada kali ini memperuntukkan RM50,000 untuk membolehkan petugas khususnya daripada kumpulan pelaksana, menjalani pemeriksaan kesihatan berkenaan.

“Alhamdulillah, untuk kali kedua, tahun ini kita membawa 59 petugas kita untuk menjalani pemeriksaan awal di IJN. Tahun lepas telah berjaya dan ramai daripada petugas kita yang mahu ia diteruskan.

“Kita juga perlu berterima kasih kepada IJN, kerana memberi kita peluang untuk membolehkan sekumpulan besar petugas kita menjalani pemeriksaan pada kadar yang amat munasabah. Bagi saya ini juga membolehkan petugas kita mengambil langkah-langkah menjaga kesihatan dengan lebih menyeluruh, selepas pemeriksaan ini,” katanya kepada Bernama ketika menghadiri program berkenaan.

Turut hadir, Ketua Pegawai Klinikal IJN Datuk Dr Saiful Azmi Yahya.

Mengulas mengenai program ESP, Nur-ul Afida berkata program itu diperkenalkan kerana melihat peningkatan kes pesakit jantung dalam kalangan orang muda, pada masa kini.

“Sebenarnya sebelum ini kita membawa pakar ke Bernama untuk buat pemeriksaan perubatan anataranya pemeriksaan kanser, tetapi ada petugas mencadangkan kenapa kita tidak membuat pemeriksaan jantung.

“Jadi saya berbincang dengan pihak pengurusan Bernama dan mereka setuju kita peruntukkan sejumlah peruntukan untuk kita bawa petugas ini ke IJN. IJN dan Bernama juga tidak jauh mana, jiran kita sahaja dan saya rasa ini tempat yang terbaik selain mempunyai semua fasiliti yang sepatutnya,” katanya.

Beliau dalam pada itu juga berharap agar program ESP dapat diteruskan pada masa akan datang, memandangkan respons yang diterima daripada petugas sangat menggalakkan.

“Sebab itu kita terpaksa meletakkan kriteria tertentu bagi memastikan mereka yang benar-benar rasa tidak sihat itu, menjalani pemeriksaan. Selain itu, kita juga tambah baik program ini dengan memastikan setiap unit atau bahagian petugas yang ada diberi peluang menjalani rawatan, bukannya hanya sekumpulan tertentu,” katanya.

Sementara itu, Dr Saiful Azmi berkata antara perkara yang ditakuti ialah serangan jantung secara tiba-tiba ketika seseorang sedang melakukan aktiviti seperti biasa, ketika beriadah atau sedang bersama keluarga.

“Jadi, untuk mengelakkan perkara sebegini, kita anjurkan supaya semua orang, terutamanya kalau umurnya cecah 30 hingga 40 ke atas untuk memeriksa kesihatan masing-masing. Benda ini tidak susah contohnya, kalau kita dapat buat pemeriksaan darah untuk melihat tahap gula dan tahap kolestrol.

“Kemudian dengan beberapa ujian seperti ECG dan treadmill itu sudah cukup sebenarnya untuk menyaring, sama ada pesakit itu mengalami masalah kesihatan atau tidak. Jadi, inilah dia kepentingan untuk buat ujian saringan… dan usaha yang dilakukan Bernama ini amat bagus,” katanya.

Dr Saiful berkata penyakit darah tinggi dan kolesterol, penyakit yang disebabkan oleh cara atau gaya hidup dan ini penyakit tanpa simptom, adakalanya menjelma dalam bentuk yang sangat teruk seperti serangan jantung atau lumpuh disebabkan strok.

Sementara itu, jurufoto Mohamad Huzaini Md Daud, 52, yang kini bertugas di Biro Bernama Putrajaya berkata peluang yang ditawarkan Bernama itu, sememangnya amat bermakna baginya dan menyifatkannya sebagai tanda penghargaan majikan kepada petugas.

“Pada usia saya sekarang ini, belum pernah lagi membuat saringan kesihatan seperti ini, jadi dengan peluang yang diberikan Bernama, memang kena rebutlah, bila dibuka sahaja permohonan, saya terus memohon dan Alhamdulillah terpilih.

“Bagi saya, saringan seperti ini memang sangat penting, kerana di sinilah penentunya sejauh mana tahap kesihatan saya, kalau keputusan keluar kita sihat dan boleh lakukan kerja seperti biasa Alhamdulillah, kalau sebaliknya, sekurang-kurangnya kita tahu had kita dan mungkin ada ubat-ubatan yang perlu diambil,” katanya.

Mohamad Huzaini yang telah bertugas di Bernama sejak 22 tahun lepas berkata kesibukan tugas di lapangan adakalanya menyebabkan petugas terlupa untuk membuat pemeriksaan kesihatan, justeru beliau berharap agar kuota program ini ditambah bagi membolehkan lebih ramai pekerja dapat menjalani pemeriksaan.

Wartawan Meja Ekonomi Bernama Siti Radziah Hamzah, 43, berkata kardium terhenti hari ini tidak mengenal usia dan inisiatif Bernama ini, memberi kesedaran kepada petugas agar cakna dengan kesihatan meskipun sibuk dengan tugasan.

“Saya sudah bertugas di Bernama selama 13 tahun dan inilah peluang pertama yang saya dapat untuk buat pemeriksaan ini.

“Alhamdulillah, seawal 7.30 pagi saya dah sampai untuk buat beberapa ujian saringan antaranya X-ray, spirometri, ECG dan treadmill, lebih kurang 10.45 pagi tadi baru selesai semuanya. Hari ini kesedaran untuk buat pemeriksaan di usia muda adalah sangat perlu,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan