EKONOMI

MAXIS PERLUAS PENYELESAIAN HOME SOLAR KE SELURUH SEMENANJUNG MALAYSIA 

29/04/2025 06:11 PM

KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) -- Maxis Bhd merancang untuk memperluas penyelesaian Maxis Home Solar kepada isi rumah di seluruh Semenanjung Malaysia berikutan maklum balas positif daripada pengguna awal di Lembah Klang.

Penyelesaian itu diperluas ke seluruh Semenanjung Malaysia mulai Mei 2025 dan boleh didapati oleh pelanggan Maxis dan bukan Maxis menjelang akhir tahun ini.

Ketua Pegawai Sumber Manusia dan Transformasinya, Patrick Er berkata syarikat menyasarkan untuk membawa penggunaan tenaga hijau ke arus perdana, disokong oleh pengalaman terbukti dalam perkhidmatan, jualan dan kepuasan pelanggan meliputi 30 tahun dalam perniagaan langganan.

“Kami melihat peluang ini kerana kami mempunyai 12 juta pelanggan, termasuk 780,000 pelanggan jalur lebar untuk kediaman.

“Kebanyakan daripada mereka mempunyai rumah bertanah dan kami rasa kami mampu menyediakan perkhidmatan tambahan ini untuk menambah nilai kepada rumah mereka,” katanya pada taklimat media mengenai Maxis Home Solar di sini hari ini. 

Dalam kenyataan berasingan, Maxis berkata pelanggan boleh menikmati sehingga 25 peratus penjimatan untuk bil elektrik mereka dari hari pertama dengan perlindungan jangka panjang terhadap kenaikan kos tenaga.

“Penyelesaian solar yang sesuai dicadangkan berdasarkan saiz rumah dan penggunaan elektrik dengan pilihan pembayaran yang fleksibel,” katanya.

Menurut Maxis, dengan melengkapkan isi rumah dengan penyelesaian itu, syarikat akan membantu memenuhi permintaan yang meningkat terhadap tenaga dan menyokong agenda kemampanan negara ke arah mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050.

-- BERNAMA


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan