KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa supaya gencatan senjata di Myanmar yang dijadual berakhir esok, dilanjutkan.
Beliau berkata ia penting bagi memastikan bantuan kemanusiaan dapat terus disalurkan kepada penduduk terjejas.
“Kita telah merayu kepada kedua-dua Jeneral Kanan (Pengerusi Majlis Pentadbiran Negara Myanmar Jeneral Kanan Min Aung Hlaing) dan Perdana Menteri (Perdana Menteri Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) Myanmar Mahn Win Khaing Than) untuk menyatakan bahawa gencatan senjata amat kritikal bagi memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan,” kata beliau.
Anwar berkata kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Rumah Belia MADANI dan Rumah Mampu Milik Mukim Batu di sini hari ini.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.
Perdana Menteri turut mengulangi bantuan perlu disalurkan tanpa sebarang diskriminasi atau sekatan.
Malaysia secara konsisten menyokong penyelesaian secara aman terhadap konflik di Myanmar dan menekankan kepentingan menjaga kebajikan orang awam.
-- BERNAMA