KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) -- Presiden Maldives Dr Mohamed Muizzu hari ini dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam Kepimpinan Islam dan Pembangunan Madani oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sebagai mengiktiraf sumbangan beliau kepada kepimpinan dan pembinaan negara.
Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah selaku Ketua Perlembagaan UIAM berkenan menyempurnakan pengurniaan ijazah kehormat itu pada majlis yang diadakan di kampus UIAM di Gombak di sini hari ini.
Dalam ucapannya, Muizzu berterima kasih atas penghormatan tersebut dan menekankan kepentingan kepimpinan berpaksikan keadilan, inovasi dan pembangunan modal insan dalam memartabatkan negara-negara Islam di peringkat global.
“Ijazah doktor kehormat ini merupakan simbol hubungan berterusan antara kedua-dua negara (Malaysia dan Maldives) dan satu peringatan bahawa kepimpinan harus sentiasa bertunjangkan keadilan, belas kasihan dan pemerkasaan rakyat secara kolektif.
"Peranan diplomasi akademik antara kedua-dua negara adalah penting. Ia bukan sekadar mengukuhkan hubungan dua hala tetapi lebih daripada itu kita berkongsi aspirasi untuk pembangunan inklusif dalam dunia Islam," katanya.
Pada majlis itu beliau turut menyampaikan syarahan umum bertajuk “The Intellectual Renaissance: Unveiling the Scientific and Modern Developments of Islamic Civilization”.
Turut hadir Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Presiden UIAM Tan Sri Samsudin Osman, Rektor UIAM Prof Emeritus Datuk Dr Osman Bakar dan Pesuruhjaya Tinggi Republik Maldives ke Malaysia Dr Mariyam Shabeena Ahmed.
Terdahulu, Tunku Azizah bertitah sebagai sebahagian daripada visi UIAM untuk memelihara warisan Islam, universiti itu berhasrat menghantar mahasiswanya ke Maldives serta meningkatkan kerjasama akademik antara kedua-dua negara.
Beliau bertitah UIAM yang ditubuhkan pada 1983 dengan Republik Maldives sebagai satu daripada pengasas dan penaja bersama, melahirkan ramai siswazah Maldives yang berkhidmat dengan cemerlang untuk negara.
“Menerusi penyelidikan menyeluruh, kami berhasrat untuk mengekalkan warisan yang amat berharga ini untuk generasi akan datang dan mengukuhkan pertukaran akademik dan budaya antara UIAM dan Maldives.
“Kami amat berbangga dengan pencapaian alumni Maldives kami, yang kebanyakannya berkhidmat sebagai menteri, pemimpin korporat, ahli akademik, profesional perundangan dan anggota badan kehakiman,” titah baginda.
Muizzu, yang dalam lawatan rasmi empat hari ke Malaysia, tiba pada Ahad atas jemputan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ia merupakan lawatan rasmi pertamanya ke Malaysia sejak memegang jawatan sebagai Presiden Maldives pada November 2023.
Pada Isnin, Muizzu dan Anwar menyaksikan pertukaran tiga Memorandum Persefahaman (MoU) dan dua Pertukaran Nota (EoN) merangkumi pelbagai sektor termasuk pelancongan, kesihatan dan sukan, bertujuan memperkukuh kerjasama dua hala demi manfaat bersama.
Jumlah perdagangan Malaysia dan Maldives meningkat 4.3 peratus kepada RM862.7 juta (USD189 juta) pada 2024 berbanding RM827.3 juta (USD180.9 juta) pada 2023, menjadikan Maldives sebagai rakan dagangan keenam terbesar Malaysia dalam kalangan negara Asia Selatan.
-- BERNAMA