KOTA TINGGI, 29 April (Bernama) -- Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) memainkan peranan penting dalam pelaksanaan Program Kampung Angkat MADANI menerusi penyelarasan inisiatif dan pelaksanaan latihan berkaitan pertahanan awam kepada komuniti Felda Air Tawar 1 di sini.
APM dalam kenyataan hari ini memaklumkan penubuhan pasukan bantuan ‘Civil Defence Auxiliary’ (CDA) di peringkat komuniti itu bertujuan membentuk masyarakat yang lebih bersiap siaga, berdaya tahan terhadap bencana dan sentiasa peka terhadap aspek keselamatan awam.
Menurut kenyataan itu, Ketua Pesuruhjaya APM Datuk Aminurrahim Mohamed hari ini telah mempengerusikan mesyuarat penyelarasan pelaksanaan Program Kampung Angkat MADANI yang diadakan di Felda tersebut.
“Antara agenda yang dibangkitkan adalah cadangan menaik taraf infrastruktur termasuk tandas awam, kawasan tanah perkuburan, kerja pembaikan prasarana sekolah serta dewan Industri Kecil dan Sederhana (IKS).
“Selain itu, menaik taraf Pos Komuniti MADANI, penubuhan CDA, penyediaan peralatan keselamatan komuniti, menaik taraf dan pembaikan sistem perparitan Klinik Desa serta perkakasan mercu tanda jalan pintu masuk,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu juga memaklumkan Aminurrahim telah mengadakan lawatan tapak ke beberapa lokasi utama di Felda berkenaan sebagai sebahagian daripada usaha menyeluruh untuk memahami keperluan sebenar komuniti.
“Lawatan ini bertujuan meninjau sendiri keadaan semasa infrastruktur setempat termasuk kemudahan sekolah, tandas awam, dewan IKS serta kawasan tanah perkuburan.
“Di samping itu, lawatan ini juga membolehkan perancangan penambahbaikan dibuat secara lebih holistik dan berfokus, sekali gus menjamin pelaksanaan inisiatif yang benar-benar memberi impak positif kepada kesejahteraan penduduk setempat,” menurut kenyataan itu.
Program Kampung MADANI merupakan inisiatif yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan matlamat merapatkan jurang pembangunan di antara kawasan desa dan bandar.
Antara komponen utama program berkenaan termasuk penyediaan kemudahan asas seperti bekalan air, elektrik, jalan raya, lampu jalan, kemudahan masyarakat, capaian internet serta pelbagai kemudahan lain yang menyokong kesejahteraan komuniti.
-- BERNAMA