SUKAN

SIVASANGARI TEKAD BAWA MOMENTUM POSITIF ZURICH KE KEJOHANAN DUNIA

29/04/2025 10:22 PM

KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) -- Pemain skuasy negara S. Sivasangari percaya kejayaan muncul naib juara di Piala Grasshopper 2025 di Zurich, Switzerland pada Ahad lepas adalah langkah ke arah yang tepat dengan beliau terus berkembang dalam memahami permainannya.

Walaupun tewas pada perlawanan akhir menentang pemain nombor satu dunia Nouran Gohar dari Mesir dengan keputusan 7-11, 12-14, 9-11, pemain nombor sembilan dunia itu berharap untuk membawa momentum berkenaan ke Kejohanan Dunia Persatuan Skuasy Profesional (PSA) 2024-2025 yang akan diadakan di Chicago, Amerika Syarikat (AS) dari 9 hingga 17 Mei ini.

“Saya mahu mengambil momentum ini dan bekerja keras dalam tempoh beberapa hari ini serta berharap dapat beraksi dengan baik di sana,” kata Sivasangari dalam kenyataan hari ini.

Pemain berusia 26 tahun itu akan membuka kempen Kejohanan Dunia dengan menentang pemain Sepanyol Marta Dominguez.

Ini akan menjadi pertemuan pertama antara Sivasangari dan Dominguez yang menduduki ranking ke-53 dunia.

Sementara itu Sivasangari berkata beliau teruja dengan prestasinya sepanjang Piala Grasshopper 2025 dan beroleh pengalaman berharga hasil daripada perlawanan akhir selama 42 minit di gelanggang kaca Zurich Hauptbahnhof.

“Saya gembira dengan cara bermain di Piala Grasshopper. Jelas sekali, saya rasa saya boleh melakukan lebih baik lagi di perlawanan akhir,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan