Oleh Rosmalis Anuar dan Nur Natasha Aida Ismail
KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- Persatuan pengguna menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) supaya mengambil pendekatan lebih proaktif bagi memantau harga runcit telur ayam di seluruh negara, susulan keputusan kerajaan menamatkan subsidi telur, bagi mengelakkan sebarang aktiviti mengaut keuntungan berlebihan.
Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Dr T. Saravanan, berkata pemantauan itu perlu merangkumi pengawasan ketat terhadap Indeks Harga Pengguna (IHP), tindakan tegas terhadap kenaikan harga bersifat oportunis, serta jaminan bahawa mekanisme penetapan harga kekal telus dan adil.
“FOMCA menyokong hala tuju dasar ini sebagai langkah ke arah sistem subsidi yang lebih mampan dan bersasar.
“Namun begitu, pelaksanaannya perlu disertai perlindungan kukuh kepada golongan rentan, rantaian bekalan yang stabil serta pemantauan pasaran berterusan agar langkah ini tidak membebankan pengguna secara tidak langsung,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa subsidi telur dikurangkan daripada RM0.10 kepada RM0.05 sebiji mulai esok, sebelum subsidi dihentikan sepenuhnya mulai 1 Ogos ini.
Kementerian turut mengumumkan bahawa kawalan harga telur akan ditamatkan selepas mengambil kira komitmen industri dalam memastikan pengeluaran telur yang mencukupi dan stabil susulan kos pengeluaran yang semakin stabil.
Bagi mengelakkan pembelian panik atau kekurangan bekalan secara tidak wajar yang boleh melonjakkan harga, Saravanan berkata kerajaan perlu bekerjasama rapat dengan pengeluar, pengedar dan peruncit bagi memastikan bekalan telur ayam di pasaran kekal konsisten dan mencukupi.
Beliau turut menekankan kepentingan penyediaan jaringan perlindungan yang sesuai, khususnya untuk golongan B40 dan kumpulan terkesan lain yang mungkin merasai kesan pelarasan harga dengan lebih ketara.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP) Mohideen Abdul Kader turut bersetuju bahawa pemantauan berterusan terhadap harga telur amat penting supaya peniaga tidak menaikkan harga melebihi kesan sebenar penamatan subsidi.
“Tanpa kawalan tegas, pengguna terutamanya golongan berpendapatan rendah akan menjadi mangsa utama dalam rantaian pasaran. Kementerian juga perlu bersedia mengambil tindakan tegas terhadap manipulasi harga serta menyediakan saluran aduan yang cekap dan responsif,” katanya
Mohideen bagaimanapun mencadangkan agar kawalan harga telur dikekalkan buat sementara waktu dalam tempoh peralihan selepas subsidi ditamatkan bagi melindungi pengguna daripada potensi kenaikan harga tidak munasabah.
Bagaimanapun, Mohideen mencadangkan agar kawalan harga telur dikekalkan buat sementara waktu dalam tempoh peralihan selepas subsidi ditamatkan, bagi melindungi pengguna daripada sebarang kenaikan harga yang tidak munasabah.
Bagi peniaga kecil, Nor Hayati Abd Karim, 43, beliau berharap harga telur ayam di pasaran tidak meningkat secara mendadak memandangkan ia merupakan bahan mentah utama dalam pembuatan kuih-muih.
Nor Hayati yang menjual aneka biskut dan makanan untuk majlis keraian turut berharap agar bekalan telur ayam kekal stabil.
Harapan sama dikongsi pengguna, Hendri Yanti Zainal Arifin, 41, yang meminta kerajaan memantau harga telur di pasaran agar tidak melonjak sehingga membebankan pengguna.
“Kerajaan juga perlu proaktif meningkatkan bekalan telur ayam daripada pengeluar tempatan, selain mengawal harga makanan ayam bagi mengurangkan kos operasi pengeluaran,” katanya.
Seorang lagi pengguna, Nurefnita Abdul Razak, 38, berkata beliau cuba memahami keputusan kerajaan untuk menamatkan subsidi telur, namun berharap agar pihak berkuasa terutamanya KPDN sentiasa memantau peniaga dan pembekal.
-- BERNAMA