AM

LATIHAN, SIMULASI KESELAMATAN SIDANG KEMUNCAK ASEAN KE-46 DARI 5 HINGGA 7 MEI

30/04/2025 08:55 PM

KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- Latihan dan simulasi keselamatan menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang dijadual berlangsung pada 26 dan 27 Mei di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini akan diadakan dari 5 hingga 7 Mei ini bermula 8 pagi hingga 6 petang.

Timbalan Ketua Pengarah Keselamatan Negara (Keselamatan Strategik) Majlis Keselamatan Negara Datuk Baharuddin Ahmad berkata latihan itu bagi memastikan keselamatan para pemimpin dan tetamu antarabangsa berada pada tahap optimum selain menguji kesiapsiagaan pasukan keselamatan negara.

"Ada antara simulasi untuk serang hendap, dan bila berlaku latihan serang hendap itu akan ada satu atau dua jalan yang ditutup serta melibatkan banyak jentera seperti  Pasukan Unit Simpanan Persekutuan, jadi saya minta sesiapa yang berada di sekitar Pusat Konvensyen Kuala Lumpur untuk tenang dan terkawal.

“Latihan ini kita buat macam keadaan sebenar, sebagai contoh kita menggerakkan helikopter dari pangkalan, kita nak uji dari pangkalan mana harus digerakkan, kita juga nak uji berapa lama helikopter itu boleh digerakkan ke lokasi lain untuk penyelamatan,” katanya ketika menjadi tetamu Bernama Radio hari ini.

Beliau berkata kerjasama untuk persiapan Sidang Kemuncak ASEAN itu melibatkan lebih 13 agensi antaranya Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia selain pelbagai agensi dan kementerian. 

Baharuddin juga berkata persiapan lain yang dijalankan secara rapi dan terperinci melibatkan aspek komunikasi, keselamatan siber serta penyaluran tenaga bagi memastikan tiada unsur sabotaj yang boleh merosakkan imej negara.

“Itu matlamat Kerajaan MADANI dan Malaysia sebagai tuan rumah untuk memastikan persidangan ini berjalan lancar dan terbaik supaya ia menghasilkan dapatan yang baik dari sudut ekonomi, politik dan teknologi antara negara ASEAN dan negara luar,” katanya. 

Malaysia akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang dijadualkan berlangsung pada 26 dan 27 Mei ini manakala Sidang Kemuncak ASEAN bersama Rakan Dialog bermula pada penghujung Oktober, sebagai sebahagian daripada peranannya selaku Pengerusi ASEAN 2025.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dijangka menghimpunkan 10 pemimpin negara anggota ASEAN bagi membincangkan isu serantau serta memupuk kerjasama ekonomi selain memperjuangkan prinsip keterangkuman dan kemampanan.

Tema ASEAN 2025 ialah Keterangkuman dan Kemampanan sebagai asas penyatuan untuk penglibatan serantau serta global selain mencerminkan komitmen kolektif rantau ini untuk membentuk masa depan yang berdaya tahan dan saksama.

Malaysia sebelum ini pernah memegang jawatan Pengerusi ASEAN sebanyak empat kali iaitu pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan