EKONOMI

CONOCOPHILLIPS SAHKAN TARIK DIRI DARIPADA PROJEK MEDAN MINYAK SALAM-PATAWALI

30/04/2025 09:41 PM

KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- Syarikat minyak utama Amerika Syarikat (AS) ConocoPhillips mengesahkan menarik diri daripada projek medan minyak dan gas laut dalam Salam-Patawali, juga dikenali sebagai Block WL4-00, di luar pantai Sarawak. 

“ConocoPhillips memilih untuk tidak meneruskan pembangunan projek WL4-00, semata-mata berdasarkan keutamaan dalam portfolio global syarikat,” kata syarikat dalam satu kenyataan ringkas, hari ini.

  Medan minyak dan gas laut dalam itu yang ditemui bersama Petroliam Nasional Bhd (Petronas) pada 2018, dibangunkan di bawah usaha sama 50:50.

Penarikan diri syarikat itu kali pertama dilaporkan oleh saluran berita pada 15 April dan muncul semula baru-baru ini, dengan laporan menyatakan bahawa keputusan itu adalah sebahagian daripada "semakan semula strategi negara", yang tidak dihuraikan oleh syarikat itu.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan